Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dari Perniagaan Sambal Dan Kosmetik, Aleeya Avenys Kini Tauke Batu Permata

Syamimi
AVENYS

Dari Perniagaan Sambal Dan Kosmetik, Aleeya Avenys Kini Tauke Batu Permata

Kalau mahu disingkap kembali bukan mudah perjalanan hidup usahawan dan pempengaruh terkenal, Aleeya Zailan.

Ibu kepada tiga anak yang kini dikenali dengan nama Aleeya Avenys menganggap semua itu termasuk kisah silam hidup susah dan lahir dalam keluarga bercerai-berai sebagai pelajaran serta pengalaman berharga. 

Enggan menoleh ke belakang lagi, wanita kecil molek berkulit putih gebu itu kini juga sudah berjinak-jinak dengan cabang perniagaan baharu sebagai sebagai tauke barang kemas pula baru-baru ini di bawah nama Avenys & Co.

Sejak awal, suami tercinta yang mesra dengan Big Boss menjadi penyokong setia pempengaruh dan usahawan popular ini.

Terdahulu, dia meneroka dan mencipta nama dalam perniagaan jual sambal, penjagaan kulit dan suplemen.

“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tapi berlian dan permata umpama teman akrab golongan wanita. Macam lagu mendiang Marilyn Monroe berjudul Diamonds Are a Girl's Best Friend.

“Dalam erti kata lain, saya sudah mula ‘tersuka’ dan ‘terjatuh hati’ dengan barang kemas terutama berlian. Dari membeli dan mencari berlian terbaik untuk diri sendiri, akhirnya jadi geram sampai terbeli dalam kuantiti banyak.

“Kemudian suka pula batu permata. Lama- kelamaan, asyik fikir dan menikmati keindahan barang kemas, tercetus rasa serta keputusan untuk menceburi perniagaan ini. Lebih istimewa saya reka sendiri barang kemas yang diingini,” Katanya teruja.

Isteri kepada Azri Aziz atau lebih dikenali dengan gelaran Big Boss itu berkata, fokus dan tumpuannya terhadap perniagaan barang kemas juga lebih banyak sekitar 80 peratus.

Kini Aleeya Avenys bergelar tauke berlian dan permata pula.

“Selebihnya (20 peratus) perhatian itu tetap diberikan untuk perniagaan penjagaan kulit (jenama Avenys) yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu. 

“Tambahan lagi, perniagaan penjagaan kulit itu sudah ibarat boleh lepas tangan kerana sudah boleh dibeli di banyak premis perniagaan termasuk Guardian dan Aeon Wellness.

“Saya pun ada hos siaran langsung di TikTok yang aktif menjual. Syukur juga jenama kebanggaan saya ini sudah dikenali, dipercayai dan mempunyai kelompok pelanggan serta peminat tegar,” Katanya.

Tambah Aleeya Avenys lagi, semangatnya meluaskan cabang empayar perniagaan berlian dan batu permata didorong keinginan untuk mendidik orang untuk lebih bijak membeli.

“Memang kita selalu dengar ramai yang kena tipu sebab tak tahu selok belok barang kemas. Ada yang beriya-iya nak beli berlian dan permata tapi hujung - hujung batu dicari tak berkilau selain palsu. 

“Jadi untuk permulaan barang kemas saya ini dibuat secara konsep ‘made to order’ dan boleh ditempah menerusi laman sesawang www.avenys.com,” Katanya.

Aleeya Avenys akui kehilangan akaun Instagram peribadi cukup memberi impak besar dalam hidup beliau.

Dalam pada itu, Aleeya Avenys mengakui masih bersarang rasa sedih dan ralat apabila akaun Instagram (IG) peribadinya dengan jumlah lebih 900,000 pengikut digodam sebelum ini.

“Sedih memang sedih kerana IG itu banyak kenangan. Termasuklah mengumpul ramai peminat dan pelanggan. Menerusi IG itu juga saya perlahan demi perlahan membina jenama, meluaskan empayar diri serta pengaruh perniagaan.

“Saya ada juga usaha untuk mendapatkan akaun IG itu kembali. Tapi macam agak sukar. Akhirnya, kena reda saja. Ada juga buat akaun IG baharu, tapi berjaya kumpul sedikit saja pengikut sekitar lebih 2,000.

“Saya kini banyak guna medium Facebook dan TikTok saja. Tapi kebelakangan ini lebih kepada Facebook (Avenys) termasuk buat ‘live’ di medium berkenaan kerana banyak sangat kekangan di TikTok. TikTok perniagaan saya sendiri sudah empat kali diharamkan. 

“Natijahnya sampai wang syarikat saya di bawah akaun TikTok itu pun lesap. Sudah banyak kali buat aduan dengan pihak TikTok tapi semuanya berakhir dengan kehampaaan,” Katanya.

Paparan Skrin laman sesawang perniagaan batu permata milik Aleeya Avenys.

Aleeya Avenys sebelum ini juga mengakui pernah memperlahankan kerancakan bersiaran langsung di media sosial kerana penyakit ain.

“Sebab itu juga juga saya guna khidmat hos siaran langsung. Kita tak pernah tahu apa yang ada dalam hati orang yang mungkin iri dan cemburu. Jadi saya ambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terlalu menonjol.

“Cuma kebelakangan ini saya mula rasa senangat balik nak aktif di media sosial termasuklah buat vlog untuk dimuat naik di TikTok dan platform media sosial lain.

“Macam baru-baru ini saya ada buat vlog semasa bercuti di benua Antartika selama tiga minggu bersama suami. Percutian mewah itu pun mencuri perhatian netizen apabila ada yang menyamakan kos ke sana macam pakej VIP menunaikan haji. Macam - macam lagilah telahan netizen, tapi saya sudah Imun,” Katanya.