Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dari Satu Klinik Ke 12 Cawangan, Dr. Azim Bina Empayar 'Klinik Hayat' Demi Masyarakat
Kejayaan bukanlah sesuatu yang hadir tanpa usaha. Ia menuntut kesungguhan, pengorbanan serta ketabahan dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Sikap tidak berputus asa menjadi 'kunci utama' yang sentiasa mengiringi langkah, menjadikan setiap usaha lebih bermakna dalam mengejar impian.
Dalam segmen “Ini Kisah Aku” kali ini, Siakap Keli membawakan kisah penuh inspirasi mengenai perjuangan seorang doktor perubatan swasta yang kini memiliki 12 cawangan klinik, tiga klinik pergigian, sebuah pusat fisioterapi serta sebuah Wellness Centre.
Dr Abdul ‘Azim bin Mohd Termizi, 32, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan kini sedang membina kehidupan bersama isteri tercinta dan empat orang anak sambil meniti kerjaya dalam bidang perubatan.
Perjalanan hidup beliau bermula di negeri Pahang apabila menuntut di SK Kemayan dari Tahun 1 hingga Tahun 3, sebelum meneruskan persekolahan di SK Kerayong sehingga Tahun 6.

Seawal usia remaja, beliau mula membentuk asas ilmu agama dan akademik apabila melanjutkan pelajaran di Maahad Tahfiz Sains (MTS) Tanah Merah selama tiga tahun.
Kemudian, beliau berpindah ke Sekolah Menengah Islam (SMI) Aman, Kota Bharu sehingga menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berkat usaha dan disiplin yang tinggi, beliau seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Perubatan di Lincoln University College, Kelana Jaya dengan tajaan MARA selama lima tahun.
Apabila ditanya mengenai perjalanan awal sehingga berjaya membuka klinik sendiri, Dr. Azim memberitahu selepas menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, beliau ditempatkan di HUSM Kubang Kerian bagi menjalani latihan siswazah (housemanship) selama dua tahun.
"Seterusnya, saya meneruskan khidmat sebagai pegawai perubatan di Jabatan Pembedahan HUSM sebelum ditempatkan di Klinik Kesihatan Bachok

"Pengalaman-pengalaman ini banyak memberi impak kepada diri saya sebagai seorang pengamal perubatan, selain membantu membentuk hala tuju kerjaya, khususnya dalam bidang primary healthcare
"Secara tidak langsung, ia telah membuka ruang untuk saya meneroka bidang tersebut dengan lebih mendalam," ujar beliau.
Motivasi terbesar Dr. Azim adalah untuk membantu masyarakat mendapatkan kemudahan rawatan kesihatan yang berkualiti, mudah diakses dan berpatutan supaya setiap individu berpeluang menerima rawatan yang sewajarnya serta dapat meningkatkan tahap kesejahteraan hidup mereka.

Prinsip ini bukan sahaja menjadi pegangan peribadi, malah turut menjadi teras kepada penubuhan Klinik Hayat yang membawa slogan “Sejahtera Sepanjang Hayat”.
Berpegang kepada visi tersebut, Dr. Azim terus komited dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan mesra pesakit, di samping memastikan setiap cawangan yang dibangunkan mampu memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Menurut Dr. Azim, antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh beliau ketika membuka klinik pertama adalah dari segi pengurusan klinik serta membina kepercayaan masyarakat.
"Dari segi pengurusan klinik, cabaran terbesar bagi saya adalah dalam aspek pengurusan sumber manusia. Saya perlu memastikan setiap staf yang direkrut mampu memberikan khidmat yang berkualiti
"Pada masa yang sama, saya juga perlu memastikan staf berprestasi tinggi yang kami rekrut dapat kekal bersama klinik dalam tempoh yang panjang,” katanya kepada SK.
Selain itu, cabaran untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat turut menjadi antara perkara yang perlu dihadapi, khususnya bagi sebuah klinik yang masih baharu bertapak di kawasan setempat.

"Untuk itu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mentor saya iaitu ibu bapa saya sendiri, Dr Mohd Termizi dan Dr Norhayati, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia perubatan am (GP)
"Mereka mengajar saya bahawa bagi memastikan klinik kami memperoleh kepercayaan masyarakat, kami perlu kembali kepada prinsip asas dalam Islam, iaitu keadilan
"Tidak kira status atau pangkat seseorang pesakit, mereka harus dilayan secara sama rata
"Jangan kerana seseorang itu dilihat kurang berkemampuan atau mempunyai status sosial yang rendah, kita memberi layanan sambil lewa
"Apabila kita memberikan perhatian dan layanan yang sewajarnya kepada semua pesakit secara adil, barulah masyarakat akan mempercayai kami sebagai sebuah klinik yang bukan hanya untuk golongan tertentu, tetapi untuk seluruh masyarakat," jelas beliau lagi.
Setiap individu pasti pernah melalui detik di mana rasa hampir berputus asa menyelubungi diri.
Saat berdepan cabaran yang berat, perasaan lelah, kecewa dan ragu sering kali hadir tanpa diduga. Begitu juga dengan Dr. Azim.
Beliau mengakui bahawa perasaan ingin berputus asa pernah hadir, terutama dalam fasa enam bulan pertama selepas pembukaan cawangan klinik baharu.
Dalam tempoh ini, cabaran paling besar adalah untuk menarik seramai mungkin pesakit di lokasi tersebut agar memilih perkhidmatan yang ditawarkan.

"Yang lebih getir lagi, dalam fasa ini adakalanya sasaran minimum kami masih belum tercapai walaupun strategi pemasaran telah dijalankan
"Namun, saya percaya setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Lebih penting, saya sebagai ketua perlu sentiasa berfikiran positif dan memiliki ketahanan mental yang tinggi dalam apa jua situasi
"Cabaran menguruskan satu klinik tidak sama dengan menguruskan dua klinik, apatah lagi apabila jumlahnya terus bertambah
"Sehingga hari ini, saya memiliki 12 cawangan klinik, tiga klinik pergigian, sebuah pusat fisioterapi dan sebuah Wellness Centre. Saya bersyukur kerana memiliki pasukan pengurusan yang cekap dan efisien," tambah beliau lagi.
Salah satu pengalaman pesakit yang paling sukar untuk dilupakan oleh Dr. Azim adalah apabila beliau berhadapan dengan seorang pesakit yang mempunyai hasrat untuk menunaikan haji, namun pada ketika itu mengalami penyakit kronik yang tidak terkawal.
"Ketika pemeriksaan awal, pesakit berkenaan didapati menghadapi masalah kolesterol, tekanan darah tinggi dan kencing manis yang sangat tidak terkawal

"Namun, melalui pengesanan awal serta nasihat dan rawatan susulan yang berterusan di klinik kami, selepas tiga bulan, tahap penyakit kronik beliau berjaya mencapai tahap yang amat memuaskan.
"Seterusnya, beliau berjaya mencapai tahap kesihatan yang ideal sebelum berangkat ke Mekah. Dengan izin Allah SWT, beliau akhirnya menunaikan ibadah haji dan mendoakan saya di hadapan Kaabah
"Saya sedar segala ini berlaku atas izin-Nya, namun saya tetap berasa terharu kerana dapat membantu pesakit menunaikan rukun Islam kelima," kata beliau.
Dr. Azim menjelaskan bahawa setiap manusia dikurniakan 24 jam sehari, namun ia bergantung kepada bagaimana seseorang itu menguruskan masa dengan sebaiknya.
Beliau berpegang kepada prinsip untuk tidak mensia-siakan masa yang ada, sebaliknya memanfaatkannya dengan penuh rasa syukur.

"Secara praktikalnya, ia bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan
"Walaupun saya kerap bergerak dari satu negeri ke negeri lain untuk menguruskan cawangan klinik, saya tetap berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada anak-anak yang masih kecil
"Dalam situasi saya, saya benar-benar berpegang kepada prinsip untuk sentiasa 'create the time' bersama keluarga

"Memandangkan kediaman saya terletak di tingkat atas klinik, setiap kali mempunyai kelapangan walaupun seketika, saya akan memastikan masa tersebut dimanfaatkan bersama anak-anak
"Di sini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada isteri saya, Dr Lini Izzati, yang sentiasa memahami dan mempercayai impian saya sejak awal. Pengorbanan isteri saya sememangnya tiada tandingan
"Beliau sebenarnya bercita-cita untuk menjadi doktor pakar mata. Namun, demi menyokong visi saya, beliau memilih untuk bersama-sama membangunkan Klinik Hayat agar dapat meluangkan lebih banyak masa bersama saya dan anak-anak," ujar beliau lagi.

Apabila ditanya mengenai kesilapan atau kegagalan terbesar yang pernah dialami, Dr. Azim mengakui bahawa sepanjang perjalanan membangunkan klinik, kesilapan itu sememangnya tidak dapat dielakkan.
Antara yang paling memberi kesan adalah pembelian stok ubat yang berlebihan pada peringkat awal, sehingga mengakibatkan kerugian kepada operasi klinik.
Namun begitu, beliau melihat pengalaman tersebut sebagai satu pengajaran yang sangat berharga.
Kesilapan itu membuka mata beliau tentang kepentingan pengurusan inventori yang lebih teliti dan strategik, terutamanya dalam memastikan keseimbangan antara permintaan dan bekalan.
Setiap individu pasti memiliki momen yang membanggakan dalam kehidupan mereka.
Detik-detik ini, sama ada besar atau kecil menjadi bukti kepada usaha, pengorbanan dan kesungguhan yang telah dicurahkan.
Bagi Dr. Azim, melihat Klinik Hayat berkembang daripada hanya satu cawangan kepada rangkaian yang semakin meluas sebagai satu pencapaian yang amat bermakna.

Menurut beliau, perkembangan tersebut bukan sahaja melambangkan kejayaan perniagaan, malah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 100 individu dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada masa hadapan.
Seiring dengan perkembangan Klinik Hayat, semakin ramai pesakit kini berpeluang merasai pengalaman rawatan yang lebih terkini dan berkualiti.
Dalam memastikan staf sentiasa berprestasi dengan baik, Dr. Azim menekankan kepentingan peranan pasukan pengurusan yang kukuh.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada tulang belakang operasinya, iaitu Ketua Pegawai Operasi (COO) Klinik Hayat, Encik Muhammad Hafiz, yang juga merupakan adiknya sendiri, bersama barisan pengurus klinik seperti Encik Fikrie dan Encik Fadhullah.
Mereka inilah yang memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan staf dan operasi klinik sentiasa lancar serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Di samping itu, saya juga berpegang kepada prinsip 'leading by example'
"Sebagai contoh, jika saya mendapati tahap kebersihan dan kekemasan klinik kurang memuaskan, saya sendiri akan turun padang untuk membersihkan kawasan klinik
"Malah, jika tandas didapati kurang bersih, saya tidak teragak-agak untuk membersihkannya sendiri
"Saya percaya bahawa dengan menunjukkan contoh yang baik kepada pekerja, mereka juga akan terdorong untuk mencontohi amalan positif tersebut di tempat kerja," jelas Dr. Azim.
Ketika diminta mengulas tentang nasihat kepada graduan perubatan yang ingin membuka klinik sendiri, Dr. Azim menekankan bahawa perkara paling utama adalah minat yang mendalam.
Menurut beliau, dunia pekerjaan di sektor swasta dan kerajaan merupakan dua realiti yang berbeza.
"Di sektor swasta, perbezaan ketara ialah pembukaan klinik GP swasta turut melibatkan pengurusan sebuah perniagaan. Tambahan pula, pengurusan perniagaan dalam bidang kesihatan mempunyai cabaran yang berbeza berbanding perniagaan lain.

"Ilmu perniagaan, khususnya dalam bidang kesihatan, perlu diberi penekanan. Pada masa yang sama, ia perlu diseimbangkan dengan nilai empati terhadap masyarakat, memandangkan bidang kesihatan berkait rapat dengan kualiti hidup manusia.
"Selain itu, sikap ingin terus belajar serta memperkembangkan kemahiran amat penting bagi menambah nilai diri sebagai seorang pengamal perubatan
"Never stop learning because life never stops teaching," kata beliau lagi.