Kehadiran Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden bersama barisan kepimpinannya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini mencuri perhatian perwakilan.
Lebih menarik, kunjungan delegasi Pemuda Pas itu turut disambut dengan pemberian cenderahati daripada Pemuda UMNO sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua sayap parti.
Afnan Hamimi menerusi satu hantaran di Facebook hari ini turut merakamkan penghargaan kepada sahabat-sahabat Pemuda UMNO atas cenderahati berkenaan.
“Terima kasih sahabat-sahabat Pemuda UMNO atas cenderahati hari ini.
“Datang memenuhi jemputan, balik sekali dengan buah tangan.
“Yang paling penting bukan nilai pemberian itu, tetapi tanda persahabatan dan hubungan yang kita sama-sama jaga,” katanya.
Menurut beliau, hubungan baik antara kedua-dua pihak diharapkan dapat terus dipelihara, selain memanfaatkan ruang yang ada untuk kebaikan agama, rakyat dan negara.
“Moga silaturahim ini terus baik, dan apa juga ruang yang ada dapat kita manfaatkan untuk kebaikan agama, rakyat dan negara.
“Terima kasih brother!” katanya.
Kunjungan berkenaan dilihat sebagai kunjungan balas selepas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengetuai 25 delegasi pergerakan itu menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-67 di Kota Bharu, Kelantan pada 3 September lalu.
Kehadiran pimpinan sayap pemuda kedua-dua parti dalam program rasmi masing-masing sekali gus memperlihatkan keterlibatan serta hubungan yang semakin mendapat perhatian.
Sebelum ini, kehadiran delegasi Pemuda UMNO pada Muktamar Dewan Pemuda Pas turut mencuri perhatian apabila ia disifatkan sebagai simbolik hubungan antara kedua-dua parti Melayu berkenaan.
Perkembangan terbaharu itu turut memberi gambaran bahawa hubungan di peringkat kepimpinan Pemuda Pas dan Pemuda UMNO terus menjadi perhatian dalam landskap politik semasa.

