Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dato' Sri Vijay Eswaran Cabar Mahasiswa Berani Hadapi AI

DATO

Dato' Sri Vijay Eswaran Cabar Mahasiswa Berani Hadapi AI

Pengasas merangkap Pengerusi Majlis Quest International University (QIU), Dato’ Sri Vijay Eswaran berkata kecerdasan buatan (AI), walaupun menawarkan kepantasan dan kemudahan, tidak mampu menggantikan satu perkara yang menjadi asas potensi manusia iaitu keupayaan untuk berimaginasi, membuat pertimbangan dan berfikir secara sendiri.

Beliau menegaskan bahawa apa yang benar-benar membezakan manusia bukanlah kesempurnaan, tetapi sesuatu yang jauh lebih bernilai iaitu ketidaksempurnaan yang menjadikan kita manusia, serta pilihan yang kita buat kerananya.

Lebih 100 mahasiswa QIU berhimpun di kampus universiti itu di Ipoh, Perak pada 28 April 2026 bagi menyertai perbincangan mengenai persoalan yang semakin relevan dalam dunia dipacu AI: apabila teknologi mampu melaksanakan kerja, apakah yang akan menentukan nilai diri kita?

“Kunci untuk berjaya menempuh alam universiti, dan kehidupan itu sendiri, ialah keupayaan untuk menyesuaikan diri, berubah mengikut keadaan dan menerima cabaran baharu,” kata Dato’ Sri Vijay. “Anda datang ke sini untuk menimba kebolehan. Tetapi anda akan keluar dengan sikap. Dan sikap adalah perkara kecil yang membawa perbezaan besar.”

Sesi itu menggalakkan mahasiswa melihat melangkaui keupayaan teknikal semata-mata, serta menilai ciri-ciri insaniah yang akan menjadi paling penting pada masa hadapan, termasuk kebijaksanaan membuat keputusan, kebolehsuaian, pemikiran kritikal dan peribadi yang kukuh.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, QIU telah menerima lebih 15,000 pelajar merangkumi tujuh fakulti dengan lebih 50 program pengajian secara keseluruhan. Sesi interaktif tersebut menghimpunkan mahasiswa daripada Fakulti Sains Sosial, Sains Hayat Bersepadu, Perniagaan & Pengurusan serta Perubatan yang turut aktif berkongsi pandangan sepanjang perbincangan.

Kebolehsuaian ialah kecerdasan baharu

Salah satu tema utama sesi ini ialah kepentingan pembelajaran sepanjang hayat. Ketika AI terus menjadikan tugasan lebih pantas dan mudah, perbincangan beralih kepada persoalan yang lebih mendalam: bagaimana mahasiswa boleh terus membangunkan diri apabila kemudahan bukan lagi cabaran utama?

Perbincangan itu menekankan bahawa individu yang benar-benar bersedia menghadapi masa depan bukan sekadar mereka yang cepat menyerap ilmu, tetapi mereka yang terus berfikir, terus mempersoalkan dan terus menyesuaikan diri seiring perubahan dunia.

Dato’ Sri Vijay Eswaran berinteraksi bersama mahasiswa QIU dalam sesi tersebut.

Berfikir melangkaui algoritma

Sesi itu turut menyentuh peranan pertimbangan manusia dalam dunia di mana AI mampu memberikan jawapan segera. Walaupun teknologi menawarkan kepantasan dan kemudahan, ia tidak dapat menggantikan sepenuhnya kebijaksanaan manusia. Mahasiswa digalakkan untuk memahami bila perlu mempercayai AI, bila perlu mempersoalkannya, dan bagaimana mengukuhkan keupayaan menilai maklumat secara teliti berbanding menerimanya bulat-bulat.

Selain kemahiran dan prestasi, perbincangan itu turut menekankan kepentingan nilai serta karakter. Mahasiswa diingatkan bahawa walaupun teknologi berkembang dengan pantas, sifat kemanusiaan seperti empati, integriti, daya tahan dan tujuan hidup tetap menjadi perkara yang amat penting.

“AI boleh melakukan segala-galanya dengan sempurna. Ia diprogramkan begitu. Namun ketidaksempurnaan kita sebagai manusia itulah yang menjadikan kita lebih bernilai daripada mana-mana mesin,” kata Dato’ Sri Vijay. “Ketidaksempurnaan itulah yang mendekatkan kita antara satu sama lain, yang membolehkan dua insan saling berhubung dan saling melengkapi dengan cara yang tidak mampu ditiru oleh algoritma. Itulah hakikat sebenar menjadi manusia,” tambah beliau.

Nilai kemanusiaan yang menentukan siapa kita

Sesi itu berakhir dengan nada yang meyakinkan. Daripada takut digantikan, mahasiswa digalakkan memberi tumpuan untuk menjadi insan yang mereka mahu dikenali.

“AI tidak akan pernah mendahului anda kerana andalah yang berimaginasi, yang berempati, yang menentukan insan seperti apa anda mahu jadi. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah jangan berhenti bergerak. Terus belajar. Terus berkembang. Terus bertanya. Kerana apabila AI boleh melakukan kerja, apakah yang akan membuatkan anda dikenali? Sikap anda. Nilai anda. Cara anda melayan orang lain. Itulah nilai yang tidak akan mampu dirampas oleh mana-mana mesin,” tegas Dato’ Sri Vijay.

Melalui sesi interaktif ini, mahasiswa yang hadir serta terlibat dalam dialog soal jawab bersama Dato’ Sri Vijay Eswaran dapat menilai semula makna pembelajaran, pertimbangan, identiti dan nilai diri. Dengan perkongsian beliau yang berasaskan pengalaman industri sebenar, sesi ini bukan sekadar perbincangan mengenai AI, tetapi menjadi renungan tentang apa yang kekal unik sebagai manusia.

Kiswer Murthi, mahasiswa Fakulti Perubatan, berkata sesi tersebut mengubah cara beliau melihat masa depannya dalam dunia yang semakin dipengaruhi AI.

“Pandangan Dato’ Sri, seorang tokoh yang membina kerjayanya jauh sebelum kewujudan AI, dan melihat bagaimana beliau menggabungkan pengalaman luas itu bersama teknologi baharu, benar-benar membuka mata kami tentang bagaimana generasi akan datang boleh menyesuaikan diri dan melangkah ke masa depan,” katanya.