Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

DBKL Arah Tutup Tapak Pembinaan Di Bandar Tun Razak

DBKL
Kredit: Facebook DBKL

DBKL Arah Tutup Tapak Pembinaan Di Bandar Tun Razak

Sebuah tapak pembinaan kediaman bertingkat di Jalan Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak diarah tutup selepas dikesan melakukan pelbagai pelanggaran dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan Siri 4/2026 yang dijalankan kelmarin.

Operasi tersebut dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menerusi satu kenyataan dalam Facebook, DBKL memaklumkan sebanyak lapan notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk kacau ganggu saliran longkang awam, pembinaan struktur sementara tanpa kelulusan, pembiakan jentik-jentik serta penggunaan lori membawa bahan binaan tanpa permit laluan.

“DBKL menutup tapak pembinaan daripada beroperasi sehingga tahap kebersihan dan keselamatan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak kontraktor.

“Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam operasi sama, DBKL memaklumkan JIM dan PDRM turut menahan lapan pekerja binaan warga Bangladesh selepas pemeriksaan dokumen perjalanan dan permit kerja.

Menurut DBKL, CIDB turut mengeluarkan dua notis kepada kontraktor utama untuk tindakan lanjut dalam tempoh 14 hari.

Pemeriksaan turut mengesan beberapa isu keselamatan termasuk pendawaian elektrik berbahaya, penggunaan petrol bagi janakuasa (genset), ketiadaan tempat penyimpanan alat pemadam api serta penggunaan gas petroleum cecair (LPG) di kawasan dapur tanpa pengawasan sewajarnya oleh pihak JBPM.

DBKL berkata, operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta aspek keselamatan terus diperkukuh.