Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Langkah melantik bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA Besut dan Balik Pulau didapati berkesan dalam mengawal disiplin serta keselamatan fizikal asrama.
Perkara itu merupakan dapatan Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera di kedua-dua MRSM berkenaan yang dijalankan oleh Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM), Haliza Abdul Rahman.
Menurut kajian tersebut, ibu bapa, pentadbir sekolah dan pelajar turut memberikan maklum balas positif terhadap pelantikan warden dalam kalangan bekas tentera.
Kajian itu mendapati kehadiran warden yang lebih kerap dan sistematik berjaya meminimumkan ruang berlakunya kes buli serta vandalisme.
Selain itu, pelajar dilaporkan berasa lebih selamat dan lebih berdisiplin dalam mematuhi masa, menjaga kekemasan diri serta asrama selain memupuk nilai hormat dan adab.
Kajian sama turut menyimpulkan bahawa pelantikan warden daripada kalangan bekas tentera mampu memperkukuh dimensi kerohanian pelajar melalui penglibatan langsung mereka dalam aktiviti keagamaan.
Dalam masa sama, langkah tersebut juga membantu mengurangkan beban guru, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan penuh kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkongsi laporan lengkap kajian setebal 191 muka surat yang diterimanya daripada Haliza.
Menurut Asyraf Wajdi, dapatan kajian turut menunjukkan penurunan drastik isu berkaitan disiplin pelajar, malah kes buli sepanjang tempoh penempatan warden terbabit hampir sifar.
Sehubungan itu, beliau berkata berdasarkan hasil positif kajian berkenaan, Majlis MARA akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera di kesemua 58 MRSM seluruh negara.
“Saya juga meminta pihak UPM bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu ini dan melanjutkan kajian untuk menangani isu buli mental secara holistik.
“Terima kasih dan penghargaan buat seluruh pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian menyeluruh dan amat bermanfaat buat MARA dan MRSM,” katanya.
Sebelum ini, MARA memulakan projek rintis selama enam bulan dengan menempatkan warden bekas tentera di asrama pelajar di MRSM Besut dan Balik Pulau sebagai antara inisiatif membanteras isu keganasan serta buli di institusi berkenaan.