Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang dijalankan warga asing di sekitar Jalan Selayang Baru, Pasar Harian Selayang, Khamis lalu.
Menerusi operasi tersebut, pemeriksaan dijalankan ke atas beberapa aktiviti perniagaan melibatkan jualan barangan am, runcit serta barangan basah termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran.
Menurut DBKL, hasil pemeriksaan mendapati perniagaan itu dijalankan tanpa lesen sah oleh individu bukan warganegara.
DBKL memaklumkan sebanyak empat notis kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Selain itu, sebanyak 13 tindakan sita dan pindah barangan turut dilakukan ke atas penjaja warga asing termasuk individu yang menggunakan kad pelarian daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai dokumen pengenalan.
Kesemua barangan dan peralatan perniagaan yang disita telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut serta tujuan dokumentasi.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016.
“DBKL akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa di kawasan tumpuan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan serta mengekang aktiviti tanpa lesen,” menurut kenyataan DBKL di Facebook hari ini.
DBKL berkata operasi seumpama itu akan diteruskan secara berterusan di lokasi-lokasi tumpuan bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh semua pihak.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan di kawasan berkenaan.