Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

DBKL Roboh Dua Premis Binaan Haram Dikendalikan Warga Asing

ROBOH
Kredit: Facebook DBKL

DBKL Roboh Dua Premis Binaan Haram Dikendalikan Warga Asing

Dua struktur binaan tanpa kelulusan yang dijadikan premis perniagaan di Lorong Segambut Dalam di ibu negara dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi bersepadu selepas pemilik didapati ingkar notis penguatkuasaan yang dikeluarkan sebelum ini.

DBKL menerusi satu kenyataan di media sosial memaklumkan, struktur berkenaan digunakan sebagai kedai runcit dan kedai gunting rambut yang dikendalikan oleh warga asing.

Menurut DBKL, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad.

“Pemilik premis sebelum ini telah diberikan dua notis penguatkuasaan pada 29 Julai dan 31 Julai lalu supaya mengosongkan tapak berikutan pembinaan struktur sambungan kekal tanpa kelulusan di atas rezab jalan dan lorong tepi bangunan.

“Notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 69 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Bagaimanapun, tindakan merobohkan struktur berkenaan dilaksanakan selepas pemilik gagal mematuhi arahan yang diberikan,” katanya.

DBKL berkata, kerja-kerja meroboh dan membersihkan kawasan berjalan lancar selepas semua barangan serta peralatan perniagaan dipindahkan keluar oleh pemilik premis.

Menurutnya, bekalan air dan elektrik ke premis turut dipotong mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan kerjasama Air Selangor dan TNB.

Dalam operasi sama, JIM turut menahan lima pekerja warga asing untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

DBKL berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala bagi memastikan semua premis mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.