Ratusan mahasiswa dan kumpulan masyarakat sivil di Indonesia sekali lagi mencuri perhatian apabila mengadakan demonstrasi di Jakarta serta beberapa bandar lain pada Selasa.
Menurut BBC News Indonesia, demonstrasi itu diadakan bersempena genap dua tahun pemerintahan Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka.
Perhimpunan tersebut bukan sekadar menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran negara, malah turut membawa beberapa tuntutan yang melibatkan isu ekonomi, alam sekitar, hak asasi manusia serta kesejahteraan rakyat.
Demonstrasi mahasiswa di Indonesia
Di Jakarta, seramai 11 aktivis Greenpeace membentangkan kain rentang di atas Tugu Selamat Datang di Bulatan Hotel Indonesia (HI).
Sementara itu, ratusan mahasiswa daripada beberapa institusi pengajian tinggi mengadakan demonstrasi di kawasan Tugu Tani.
“Prabowo sudah gagal. Prabowo-Gibran sudah gagal,” laung seorang peserta yang kemudian disambut oleh peserta demonstrasi, seperti dilaporkan wartawan BBC News Indonesia di lokasi kejadian.
Jadi, apakah sebenarnya yang dituntut oleh mahasiswa Indonesia sehingga mereka turun ke jalan raya?

Lima tuntutan mahasiswa
Menerusi demonstrasi tersebut, mahasiswa dan kumpulan masyarakat sivil mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan Indonesia, iaitu:
Mendesak kerajaan mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah sebagai bencana nasional, selain memulihkan ekosistem yang terjejas
Menuntut kerajaan memperbaiki tadbir urus ekonomi yang memberi kesan kepada pasaran dan kehidupan masyarakat
Meminta kerajaan menghormati hak asasi manusia dan prinsip demokrasi
Mendesak kerajaan membanteras rasuah, pakatan sulit dan nepotisme
Menuntut kerajaan segera meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan dan kesihatan demi kesejahteraan rakyat

Selain lima tuntutan tersebut, para peserta turut mendakwa ruang kebebasan masyarakat sivil semakin mengecil, termasuk susulan penglibatan pihak tentera dalam pelbagai urusan awam.
Para penunjuk perasaan turut mengkritik beberapa kes tindakan undang-undang terhadap rakyat yang menyuarakan pendapat dan kritikan.
Demonstrasi diadakan di beberapa bandar
Pada hari yang sama, demonstrasi turut berlangsung di Yogyakarta dan Bandung, Jawa Barat.
Salah seorang peserta demonstrasi, Nazhira daripada Badan Eksekutif Mahasiswa Institut Pertanian Bogor (BEM IPB), meluahkan rasa tidak puas hati terhadap peningkatan kos sara hidup sepanjang dua tahun pemerintahan Prabowo-Gibran.
“Sekarang memang terasa, harga semua barang semakin naik. Sedikit demi sedikit, lama-kelamaan menjadi banyak,” katanya.
Beliau turut membandingkan kuasa beli wang sakunya ketika masih berada di Tingkatan Lima, dua tahun lalu.
Menurutnya, ketika itu wang sebanyak Rp100,000 (100 ribu rupiah) sudah mencukupi untuk keluar bersiar-siar, menonton wayang serta membeli makanan dan minuman.
“Kalau sekarang, wang sebanyak itu mungkin hanya cukup untuk tambang pengangkutan dan menonton wayang sahaja. Nak beli makanan dan minuman pun sudah tidak mampu,” katanya.
Di lokasi berasingan, puluhan mahasiswa turut mengadakan demonstrasi di kawasan Patung Kuda, Jakarta Pusat, pada tengah hari Selasa.


Mereka membawa kain rentang bertulis “Rapor Merah 2 Tahun Tolak Rezim Fasis Prabowo-Gibran” yang bermaksud penilaian buruk terhadap dua tahun pemerintahan Prabowo-Gibran serta penolakan terhadap pentadbiran yang disifatkan mereka sebagai fasis.
Para peserta mengemukakan lima tuntutan, antaranya mendesak kerajaan segera mengisytiharkan gelombang kebakaran hutan dan tanah sebagai bencana nasional.
Mahasiswa turut menuntut kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat korporat yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran hutan dan tanah, selain memulihkan ekosistem yang terjejas.
Mereka juga mendesak pentadbiran Prabowo memperbaiki dasar dan tadbir urus ekonomi bagi menangani ketidaksamaan ekonomi di seluruh negara.

