Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Demo Indonesia: Pejabat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Makassar Dibakar, 3 Maut
Demonstrasi di Indonesia semakin memuncak apabila tiga orang dilaporkan maut dan lima lagi cedera dipercayai akibat terperangkap dalam sebuah bilik ketika penunjuk perasaan membakar pejabat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Makassar pada petang Jumaat.
Memetik laporan Antara News, tiga mangsa yang maut ialah dua orang kakitangan DPRD Makassar dan seorang lagi kakitangan Daerah Tanah Ujung.
Mereka telah meninggal dunia di tempat kejadian dan ditemui dalam keadaan terbakar.
Manakala dua lagi kakitangan DPRD Makassar yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Primaya dalam keadaan koma.
Selain itu, tiga lagi kakitangan juga cedera parah kerana terjun dari tingkat empat dan dua ketika kebakaran berlaku.
“Seramai lapan orang dipindahkan pasukan penyelamat selepas kebakaran Pejabat DPRD Kota Makassar, tiga daripadanya disahkan meninggal dunia disyaki terperangkap di dalam bilik ketika kebakaran berlaku,” kata Pemangku Ketua BPBD Kota Makassar, M Fadli, di Makassar, Sulawesi Selatan, awal pagi Sabtu.
Berdasarkan pemerhatian Antara News, orang ramai masih kelihatan di tempat kejadian pada jam 3.20 pagi waktu tempatan.
Puluhan kenderaan turut dibakar oleh penunjuk perasaan ketika kejadian, mengakibatkan sejumlah besar darinya musnah.
Di media sosial, tular beberapa video yang memaparkan kejadian ketika kebakaran terbabit.
Kejadian yang berlaku dengan sangat pantas itu menyaksikan seorang individu yang tidak dapat dipastikan identitinya telah melempar bom molotov. Beberapa saat kemudian orang ramai turut menyerang pejabat Pihak Berkuasa Tempatan.
Tindakan ini merupakan rentetan dari demonstrasi yang berlaku sejak 25 Ogos lalu berhubung beberapa isu di negara terbabit.
Terdahulu, seorang penunggang teksi motosikal maut selepas dilanggar dan digilis oleh kenderaan perisai polis dalam kejadian di Jakarta pada Khamis.
Kematian Affan Kurniawan yang berusia 21 tahun itu membangkitkan lagi kemarahan orang ramai, memicu lebih banyak demonstrasi seperti yang berlaku di Makassar.
Selain menuntut agar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dibubarkan, orang ramai kini menggesa agar pegawai penguatkuasa yang menindas rakyat diberikan hukuman yang setimpal.
Sumber: Antara News