Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Denda & Rotan: Adakah Masih Relevan?

ROTAN MASIH RELEVAN
Gambar Janaan AI
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Siakap Keli

Isu denda dan rotan sering muncul semula setiap kali ada perbincangan tentang disiplin anak-anak atau pelajar sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Ada yang bersetuju cara lama ini perlu dikekalkan kerana dianggap berkesan, ada pula yang berpendapat sudah tiba masanya kita meninggalkannya sepenuhnya.

Untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam, elok dilihat kembali kepada asas teori yang menjadi tunjang kepada amalan denda itu sendiri iaitu teori behaviorisme.

Asas teori: bagaimana behaviorisme melihat denda

Dalam behaviorisme, tingkah laku manusia dilihat sebagai hasil daripada apa yang berlaku selepas tingkah laku itu ditunjukkan. B.F. Skinner, tokoh utama di sebalik teori ini membahagikan akibat kepada dua kategori besar iaitu peneguhan - yang meningkatkan kekerapan sesuatu tingkah laku dan dendaan - yang bertujuan mengurangkannya.

Dari sudut ini, rotan atau denda dilihat sebagai satu bentuk denda yang secara teori sepatutnya mengurangkan kekerapan tingkah laku negatif seperti membangkang, membohongi ibu bapa atau melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Tetapi inilah bahagian yang sering diabaikan ramai. Dendaan dalam behaviorisme bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan sebarangan. Ia perlu mengikut prinsip yang jelas.

Dendaan yang paling berkesan ialah yang diberikan serta-merta selepas kesalahan dilakukan, bukan berjam-jam atau berhari-hari kemudian selepas emosi reda atau selepas siasatan panjang.

Ia juga perlu konsisten, dikenakan setiap kali kesalahan sama berlaku, bukan kadang-kadang dihukum, kadang-kadang dibiarkan, bergantung kepada mood ibu bapa atau guru pada hari tersebut.

Tambahan pula, tahap dendaan mestilah berkadar dengan kesalahan; dendaan yang terlalu keras berbanding kesalahan yang kecil boleh mencetuskan kesan sampingan seperti rasa takut, elak-mengelak, malah tingkah laku agresif, bukannya perubahan tingkah laku yang tulen.

Justeru, jika seseorang masih mahu menggunakan denda sebagai kaedah disiplin, ia perlu dilaksanakan dengan berdisiplin juga dari sudut pelaksanaannya, bukan bergantung kepada emosi, tetapi berdasarkan prinsip yang jelas, adil dan boleh dijangka oleh anak atau pelajar itu sendiri.

Kenapa denda mula dipersoalkan

Namun begitu, sejak 1985, ahli psikologi Edward Deci dan Richard Ryan membawa satu perspektif yang mencabar andaian asas behaviorisme ini.

Melalui Teori Penentuan Kendiri atau Self-Determination Theory, mereka mendapati bahawa kawalan luaran sama ada dalam bentuk ganjaran mahupun dendaan sebenarnya boleh menjejaskan sesuatu yang lebih penting daripada tingkah laku sesaat: iaitu motivasi dalaman seseorang individu.

Dalam satu kajian meta-analisis besar oleh Deci, Koestner dan Ryan pada tahun 1999 yang meneliti 128 kajian berasingan, mereka mendapati bahawa kawalan luaran yang bersifat memaksa cenderung menjejaskan rasa autonomi seseorang, iaitu perasaan bahawa dirinya yang mengawal tindakannya sendiri.

Apabila rasa autonomi ini terjejas, motivasi seseorang untuk berkelakuan baik bukan lagi datang dari dalam dirinya, tetapi semata-mata untuk mengelak hukuman atau mendapatkan ganjaran.

Ini bermakna, sebaik sahaja kawalan luaran itu tiada, contohnya anak sudah tidak lagi berada di bawah pengawasan ibu bapa atau pelajar sudah tidak lagi berada di bawah pengawasan guru tingkah laku yang cuba dibentuk melalui denda tadi berkemungkinan besar tidak lagi bertahan.

Deci dan Ryan turut menegaskan bahawa manusia pada dasarnya mempunyai keperluan psikologi asas untuk berasa bebas mengawal tindakan sendiri, berasa cekap dan berasa terhubung dengan orang lain.

Apabila cara mendisiplinkan lebih menumpukan kepada kawalan dan hukuman berbanding membina hubungan dan pemahaman, ketiga-tiga keperluan asas ini turut terjejas dan inilah sebabnya ramai penyelidik hari ini mula mempersoalkan sama ada denda fizikal masih wajar menjadi teras disiplin, sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Bukan sekadar hitam atau putih

Jika ditanya sama ada denda ini masih relevan, jawapannya tidak semudah 'ya' atau 'tidak. Behaviorisme mengajar manusia bahawa akibat memang boleh membentuk tingkah laku, tetapi Deci dan Ryan pula mengingatkan manusia bahawa jenis motivasi yang terhasil daripada kawalan luaran ini bersifat cetek dan tidak bertahan lama.

Cabaran sebenar bukan sekadar memilih antara denda atau tiada denda, tetapi bagaimana seseorang dewasa sama ada ibu bapa mahupun guru, dapat membina cara mendisiplinkan yang adil dan konsisten.

Pada masa yang sama membantu anak atau pelajar memahami sebab di sebalik sesuatu peraturan bukan sekadar patuh kerana takut, tetapi patuh kerana faham dan menghayati nilai di sebaliknya.

Terpulang kepada individu yang mendisiplinkan

Pada akhirnya, tiada satu formula yang sesuai untuk semua situasi dan semua individu. Ada masanya sesuatu akibat yang tegas memang diperlukan untuk menghentikan tingkah laku yang membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Namun, jika disiplin hanya bergantung kepada denda tanpa usaha membina hubungan, pemahaman dan motivasi dalaman anak atau pelajar, kesannya mungkin cuma bertahan sementara sahaja.

Di sinilah kebijaksanaan dan penilaian seorang ibu bapa atau guru memainkan peranan besar. Mereka yang mengenali anak atau pelajarnya, memahami latar belakang dan keperluan setiap individu, jauh lebih berkelayakan untuk menentukan pendekatan mana yang paling sesuai berbanding mana-mana teori yang ditulis di atas kertas.

Sains memberi kita panduan dan prinsip, tetapi keputusan akhir, seperti biasa, terpulang kepada mereka yang mendidik.

Intipati
  • Behaviorisme melihat denda sebagai akibat yang boleh mengurangkan tingkah laku negatif.
  • Denda perlu dilaksanakan segera, konsisten dan berkadar bagi mengelakkan kesan sampingan.
  • Teori Penentuan Kendiri menekankan motivasi dalaman, autonomi dan hubungan dalam disiplin.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan