Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gempa bumi bermagnitud 7.1 yang melanda wilayah Kumamoto di barat daya Jepun pada 28 Julai lalu menyaksikan impak yang agak besar apabila lebih 15,000 buah rumah mengalami kerosakan, termasuk 699 yang musnah.
Selain itu, seramai 38 orang turut disahkan terkorban akibat bencana tersebut.
Lebih seminggu berlalu, kira-kira 43,710 isi rumah masih terputus bekalan air.
Sebelum ini, tular beberapa video yang memaparkan detik-detik ketika gempa itu berlaku.
Terbaru, Kumamoto General Hospital di Bandar Yatsushiro mendedahkan rakaman CCTV dari sebuah bilik bedah ketika kejadian itu.
Menerusi video yang disiarkan oleh media tempatan, NHK, para petugas perubatan dilihat sedang melakukan pembedahan ke atas seorang pesakit sebelum gempa kuat itu menggoncang hospital berkenaan.

Gempa kuat tersebut menyebabkan peralatan di dalam bilik bedah itu bergoyang dan berselerakan.
Malah, terdapat beberapa petugas yang dilihat terjatuh ke lantai akibat gegaran kuat tersebut.
Namun, apa yang mencuri tumpuan adalah tindakan dua doktor yang melindungi pesakit yang sedang terbaring di atas meja bedah.
Seorang jururawat pula dilihat membuka pintu bagi memastikan laluan pemindahan kecemasan dapat digunakan.
Menurut NHK, ketika kejadian, sebanyak empat pembedahan sedang dijalankan.
Dalam pada itu, pihak hospital memaklumkan bahawa kesemua pembedahan berjaya diselesaikan dengan selamat.
Pengarah hospital, Shimada Shinya turut memuji tindakan para petugas yang melindungi pesakit ketika kejadian.
Hospital tersebut menyambung semula perkhidmatan pesakit luar pada Rabu selepas kualiti air telaga yang diperoleh untuk kegunaan kecemasan disahkan selamat.
Shimada berkata beberapa lif masih belum dapat digunakan dan pihak hospital juga masih belum mampu menyediakan makanan yang mencukupi kepada pesakit.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan