Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Detik Gempa Bumi Di Sulawesi Utara & Maluku Utara, Penduduk Lari Bertempiaran Ke Jalan
Gempa bumi dengan magnitud 7.6 telah menggegarkan kawasan Bitung, Sulawesi Utara dan Maluku Utara pada pagi ini serta telah merekodkan satu kematian dan seorang lagi mangsa cedera akibat tertimpa runtuhan bangunan.
Ekoran itu, amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa menyatakan gempa susulan kemungkinan akan berlaku.
Beberapa video telah dimuat naik oleh pengguna media sosial menyaksikan detik-detik ketika gempa tersebut berlaku.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @inilahcom, dapat dilihat gempa itu turut dirasai sehingga ke Pelabuhan Weda, kawasan Manado dan Halmahera Tengah.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh BMKG, pusat gempa berada di laut dekat kawasan Bitung dengan kedalaman cetek sehingga goncangannya dapat dirasai di banyak kawasan.
Selain itu, terdapat pula video yang dikongsi oleh orang awam yang menunjukkan keadaan air laut di Manado mula melimpah ke daratan selepas gempa berlaku.
Situasi tersebut menyebabkan penduduk sekitar mula cemas dan bertempiaran lari untuk menyelamatkan harta benda mereka dari rosak. Malah, ada juga beberapa buah rumah yang sudah mula dilimpahi air.
Penduduk juga dilaporkan telah melakukan kerja-kerja pemindahan harta benda dan menyelamatkan diri ekoran dari amaran potensi tsunami pasca gempa.
Dalam video lain pula, sebuah bangunan dilihat telah runtuh di Manado. Dilaporkan juga seorang mangsa terbunuh dan seorang lagi cedera akibat tertimbus di bawah runtuhan tersebut.
Memetik laporan dari BBC, salah seorang mangsa, Safitri yang tinggal berhampiran dengan bangunan yang runtuh tersebut menceritakan keadaan waktu itu seolah-olah seperti 'bunyi gemuruh'.
Ujarnya lagi, dia sudah mula melihat penduduk bertempiaran lari dan panik sejurus sahaja gempa berlaku.
Setakat ini, Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BPNP) melaporkan gegaran susulan telah direkodkan dengan magnitud 5.5 dan 5.2.
Namun, gegaran tersebut dikatakan berpusat di laut dan tidak berpotensi untuk menyebabkan tsunami, tetapi ia tetap dirasai oleh penduduk di kawasan terjejas.
"Walaupun ia cuma gegaran kecil, penduduk perlu berwaspada kerana gelombang susulan masih boleh berlaku," ujar Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan BNPB, Abdul Muhari hari ini.
Justeru, orang ramai diminta untuk bertenang, mengikut arahan pihak berkuasa dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan.
Pemantauan dan kemas kini maklumat juga akan terus dilakukan mengikut perkembangan situasi semasa.