PANAMA - Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 menggegarkan Panama pada Jumaat, menyebabkan bangunan runtuh di bahagian tengah negara itu, serta mencederakan sekurang-kurangya 27 orang.
Bagaimanapun, ketua operasi kecemasan, Rene Garcia, berkata bahawa setakat ini tiada sebarang laporan mengenai kematian susulan kejadian itu.
Gegaran cetek itu dirasai di seluruh negara Amerika Tengah yang mempunyai kira-kira 4.5 juta penduduk.
“Kita sedang berdepan dengan satu bencana besar,” kata Presiden Panama, Jose Raul Mulino, sambil memaklumkan bahawa beberapa jalan raya runtuh sepenuhnya.
Video kejadian gempa tular di media sosial
Selain itu, beberapa rakaman yang memaparkan situasi ketika dan selepas gempa bumi berkenaan melanda telah tular di media sosial.
Antara yang mencuri perhatian orang ramai ialah rakaman video yang memaparkan air dari kolam renang di atas sebuah bangunan setinggi lebih 20 tingkat mencurah ke bawah dengan deras ketika gempa bumi melanda.
Air kolam berkenaan dilihat melimpah dari bahagian atas bangunan sebelum mengalir turun dengan deras di sepanjang sisi bangunan, sehingga kelihatan seperti air terjun.
Selain itu, terdapat juga video yang dikongsikan di platform X memaparkan sebuah struktur bangunan runtuh berhampiran beberapa kenderaan. Debu kelihatan memenuhi kawasan berkenaan, manakala serpihan runtuhan juga terlihat bertaburan di sekitar lokasi runtuhan berlaku.
Satu lagi video yang turut tular memaparkan keadaan jalan raya yang rosak teruk, dipercayai susulan gegaran kuat. Rakaman itu menunjukkan permukaan jalan yang terbelah dengan rekahan besar, manakala tanah di sekitarnya turut kelihatan runtuh, sekali gus menggambarkan kesan kemusnahan akibat kejadian berkenaan.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada jam 12.56 tengah hari waktu tempatan (5.56 petang GMT), dengan pusat gempa terletak kira-kira 10 kilometer (enam batu) dari bandar kecil Pitaloza Arriba di wilayah Herrera, bahagian tengah negara itu.
USGS pada awalnya menganggarkan gempa berkenaan bermagnitud 8.0 sebelum menyemak semula bacaan kepada 7.7.
Amaran tsunami turut dikeluarkan bagi kawasan timur Lautan Pasifik, namun ditarik balik tidak lama kemudian.
Lebih 80 gegaran susulan direkodkan oleh institusi geosains tempatan, termasuk satu gegaran yang bermagnitud melebihi 6.0.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Panama itu merupakan sekurang-kurangnya kejadian keempat dengan magnitud melebihi 7.0 di Amerika Latin tahun ini.
Sebelum ini, dua gempa bumi kuat masing-masing bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda Venezuela pada Jun lalu, manakala satu lagi gempa bumi bermagnitud 7.4 menggegarkan bahagian barat Colombia pada Ogos.

