Detik Perit Hilang Satu-satunya Sumber Kekuatan Ajar Ibu Tunggal Ini Kuat Hari Demi Hari
Tidak dinafikan, tidak ada yang lebih ditakuti seorang anak selain kehilangan ibu dan bapa. Tapi, pernahkah kita terfikir, bagaimana pula rasa di hati seorang ibu atau ayah apabila kehilangan anak mereka?
Anak yang dikandung sembilan bulan, dibesarkan penuh kasih sayang, dipeluk setiap hari, ditatap setiap malam, tiba-tiba ‘pergi’ selamanya.
Kehilangan seorang anak buat seorang ibu atau ayah, percayalah, itu mungkin jauh lebih perit daripada apa yang mampu kita bayangkan.
Kisah pilu seorang ibu tunggal
“Saya seorang ibu yang telah menghadapi ujian terbesar kehilangan dua anak lelaki tersayang.”
Inilah kisah menyayat hati dikongsikan oleh seorang wanita, Hasma Lela Latif, 47, apabila mencuba kuat hari demi hari selepas kehilangan dua orang putera tercinta dalam tempoh hanya tiga tahun.
Gambar terakhir (bertiga) Puan Hasma bersama dua putera tercintaSekali imbas, media sosial wanita ini terlihat seakan-akan sebuah diari maya, tempat dia meluahkan kerinduan dan menyimpan kenangan manis bersama keluarga kecilnya.
Difahamkan, anak bongsunya, Aeiry Danish, menghembuskan nafas terakhir pada 1 Februari 2021 akibat serangan asma.
Sejak itu, anak sulungnya, Aeisy Iskandar, menjadi satu-satunya penguat semangat dan peneman setia ibunya.
Namun, takdir Allah sekali lagi menguji. Pada 4 November 2024, Aeisy pula dipanggil pulang ke negeri abadi akibat kemalangan motosikal.
Aeisy Iskandar dan Aeiry DanishDetik kehilangan yang merobek jiwa
Menurut si ibu, sebelum pemergiannya, Aeiry seperti sudah ‘membiasakan’ dirinya untuk berjauhan dengan ibu.
Hampir sebulan sebelum kejadian, anak bongsu itu kerap meminta izin untuk bermalam di rumah ibu dan bapa saudaranya.
“Sejak sebulan sebelum pergi, Aeiry macam nak ajar Mama supaya tak selalu nampak dia. Dia minta duduk dengan mak cik, seminggu dengan yang ini, seminggu dengan yang lain.
“Setiap kali saya tanya bila nak balik, dia jawab ‘lama lagi’. Dia macam nak ajar Mama dia supaya biasa tak nampak dia.
“Waktu tu saya tak terfikir apa-apa, tapi bila dia dah pergi, saya rasa betul… dia sebenarnya nak biasakan saya,” luahnya sebak.
Untuk info, sejak kecil, ujar si ibu, Aeiry memang menghidap serangan asma akut dan sentiasa membawa ubatnya ke mana-mana.
Namun, Aeiry tiba-tiba pengsan dan dikejarkan ke hospital. Hari kejadian itu masih segar di ingatan.
“Ketika kejadian, abangnya, Aeisy, ada bersama Aeiry. Aeisy sendiri yang menghubungi ambulans tapi sebab ketika itu PKP, agak sukar untuk dapatkan bantuan segera.
“Abang dia memang ikut apa yang saya selalu pesan. Kalau adik semput terus hubungi ambulans. Tapi ketika itu PKP, kita pun tahu susah nak dapat bantuan segera,” kata si ibu.
Dari berita anak pengsan kepada perkhabaran lebih pahit, jantung Aeiry sudah berhenti. Walau pun doktor berusaha, nyawa anak bongsunya itu tetap tidak dapat diselamatkan.
“Doktor maklum jantung anak saya sudah berhenti, tapi saya minta Doktor untuk terus selamatkan anak saya. Namun, apakan daya, Allah SWT lebih menyayanginya,” kata si ibu.
Pemergian Aeiry menjadi luka yang tidak pernah sembuh, tetapi kasih dan perhatian Aeisy mengubat hati si ibu.
Difahamkan ketika si adik pergi, si abang sedang dalam persiapan untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia adalah satu tempoh yang sukar juga buat si abang.
Tambah sebak, si ibu turut berkongsi kejadian itu turut meninggalkan kesan mendalam buat anak sulungnya itu.
“Semasa SPM, si abang sempat alami masalah batuk dan sakit dada. Ingatkan Covid-19, tapi klinik minta refer ke hospital sebab disyaki paru-paru bocor. Di hospital, memang betul ada masalah paru-paru sebelah kanan bocor, dikenali pneumothorax.
Aeisy sebelum menjalani pembedahan paru-paru“Saya rasa mungkin dia tertekan sebab adik dia collapsed depan dia. Sejak Aeiry pergi, Aeisy selalu minta maaf sebab tak dapat selamatkan adiknya.
“Dia seolah-olah menyalahkan dirinya. Tapi saya bagitau, itu adalah kehendak Allah SWT. Tiada apa yang kami boleh lakukan,” tambah si ibu.
Tambah si ibu, Aisy bukanlah seorang perokok atau pengguna vape. Namun, dia disahkan menghidap masalah paru-paru yang dikenali sebagai Lung Bullea, seakan-akan cyst. Menurut doktor, ia dikategorikan sebagai Primary Spontaneous Pneumothorax (PSP).
Aisy pernah menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama 12 hari dan melalui prosedur chest drain sebanyak dua kali.
Selepas itu, dia turut menjalani pembedahan paru-paru di Hospital Ampang Puteri. Namun, Alhamdulillah, Aeisy kembali sihat dan kuat seperti sediakala.
Belum sembuh luka lama, si ibu terpaksa tanggung derita selepas 3 tahun
Berbeza dengan adiknya yang manja dan mudah melafazkan ‘sayang’, Aeisy menunjukkan cintanya melalui perlakuan. Tidak pernah lupa menghantar mesej, sentiasa membantu di rumah dan tidak pernah meninggalkan ibunya sendirian.
Ketika menyertai program pertukaran pelajar di luar negara sekalipun, Aeisy tidak pernah gagal menghubungi dan ‘update’ segala hal.
Aeisy (pegang bendera Malaysia) ketika program International Exchange Student SDU 2023 di DenmarkMenceritakan detik sebelum Aeisy pergi selamanya, si ibu berkongsi mereka sempat meluangkan masa untuk makan malam bersama pada hari kejadian.
“Bahkan sebelum keluar rumah, Aeisy melakukan semua rutin hariannya. Dia membantu mengemas rumah dan membuang sampah, kemudian barulah dia keluar untuk berjumpa rakannya,” kongsi si ibu.
Ujar si ibu, sebelum pergi ke mana-mana, dia tidak pernah lupa untuk berkata, “Aeisy pergi dulu ya…”.
Namun siapa sangka, kata-kata biasa itulah yang akhirnya menjadi penutup pertemuan terakhir antara seorang anak dan ibunya.
Pada 4 November 2024 itu, panggilan telefon sekali lagi memecah tenang malam, berita kemalangan motosikal yang meragut nyawa Aeisy.
“Dia ada maklumkan ingin keluar ke rumah rakannya untuk ulang kaji bersama. Saya sempat berpesan supaya dia pulang lebih awal kerana keesokan paginya ada kuliah.
“Malam itu saya langsung tidak dapat tidur kerana menunggu kepulangannya. Semakin lama menunggu, hati saya semakin resah. Panggilan telefon tidak dijawab, mesej juga tidak dibalas.
“Apabila saya semak lokasi telefonnya, kelihatan dia sedang bergerak. Saya cuba menenangkan diri dengan berfikir mungkin dia masih dalam perjalanan pulang.
“Namun, setelah lama menunggu, saya semak semula lokasi. Kali ini saya rasa pelik kerana pergerakannya tidak menuju ke arah rumah.
“Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan telefon yang memaklumkan bahawa Aeisy telah dibawa ke hospital akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Keadaan motosikal Aeisy dalam kemalangan“Apabila melihat gambar yang dihantar, saya nampak anak saya tidak cedera teruk. Saya terus bergegas ke hospital. Namun, sejurus tiba, saya dimaklumkan bahawa anak saya sudah tiada,” kongsi si ibu.
Hati seorang ibu mana yang tidak hancur apabila anak tunggal yang tinggal, tempat bertaut kasih selepas pemergian si adik, juga pergi menyusul.
Sejak itu, hidup si ibu berubah drastik. Rumah yang dulunya riuh dengan tawa anak-anak, kini kepulangannya hanya disapa sepi.
“Kehilangan kedua-dua anak ini adalah dugaan paling besar dalam hidup saya. Walaupun perit, saya redha kerana mereka pergi dalam keadaan yang baik.
“Saya yakin mereka mahu saya terus kuat, hidup dengan sebaik-baiknya dan sentiasa mendoakan mereka,” ujar si ibu.
“Mama memilih untuk ingat dan kenang memori indah…”
Gambar: Puan HasmaBerat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kata orang, hanya yang pernah merasai sahaja tahu betapa pedihnya luka itu. Terpaksa merelakan, namun tetap harus kuat.
Mungkin sebenarnya, ia satu ‘peringatan’ buat kita semua tentang betapa singkatnya masa bersama insan tersayang.
Apa yang kita ada hari ini mungkin tidak akan ada lagi esok. Senyuman yang kita lihat hari ini mungkin hanya tinggal kenangan suatu hari nanti.
Al-fatihah.
BACA: Tular Video Bersama Anak-anak Di Pusara Isteri, Pilu Hati Baca Coretan Suami Ni
Sumber: Hasma Lela Latif