Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Dia Tetap Khalisa Yang Sama…” Azmi Saat Sebak Anak Disahkan Dalam Spektrum Autisme

Khalisa
Kredit: Facebook Azmi Saat

Setiap ibu bapa pastinya mengimpikan yang terbaik buat anak, termasuk melihat mereka membesar dengan sihat, belajar dan berkembang mengikut usia serta melalui kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Namun, perjalanan membesarkan anak tidak semestinya berlaku seperti yang dirancang.

Ada kalanya, ibu bapa perlu berdepan perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran, termasuk apabila perkembangan anak menunjukkan perbezaan yang memerlukan perhatian dan sokongan khusus.

Dalam keadaan itu, penerimaan menjadi antara perkara paling penting.

Bukan untuk membandingkan anak dengan orang lain, sebaliknya memahami keperluan dan kemampuan mereka agar setiap perkembangan dapat diraikan, walaupun kecil pada pandangan orang lain.

Terdapat beberapa perbezaan pada perkembangan Khalisa

Begitu juga dengan penyanyi dan vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat dan isteri yang mula menyedari terdapat beberapa perbezaan pada perkembangan anak mereka, Khalisa, sejak usianya kira-kira setahun setengah, khususnya dari segi komunikasi.

Menurut Azmi, isterinya yang mempunyai diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak turut merasakan ada sesuatu yang perlu diberi perhatian walaupun ketika itu Khalisa masih belum menerima sebarang diagnosis.

Susulan itu, mereka mengambil langkah awal dengan membawa Khalisa menjalani terapi cara kerja selain menyertai Early Intervention Programme (EIP) bagi membantu perkembangannya.

Dalam perkongsian di Facebook, Azmi berkata mereka sentiasa mengharapkan yang terbaik buat Khalisa, namun pada masa sama menyedari perkembangan anaknya agak perlahan berbanding kanak-kanak lain seusianya, terutama dari segi komunikasi.

Sehinggalah semalam, penantian mereka akhirnya terjawab apabila doktor mengesahkan Khalisa berada dalam spektrum autisme.

Menurut Azmi, mereka sebenarnya sudah agak bersedia untuk menerima keputusan tersebut selepas membaca, bertanya dan cuba memahami lebih lanjut mengenai autisme serta ciri-ciri yang ada pada Khalisa.

Namun, persediaan dari segi fikiran tidak semestinya membuatkan hati mereka terus kebal.

“Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua. Bukan kerana kami tidak boleh menerima Khalisa.

“Dia tetap Khalisa yang sama sebelum dan selepas kami keluar dari bilik doktor itu,” katanya.

Diagnosis beri arah lebih jelas untuk bantu Khalisa

Azmi berkata, sebagai ibu bapa, pelbagai perkara mengenai masa depan Khalisa mula bermain dalam fikiran mereka.

Katanya, mereka pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah, namun percaya setiap ketentuan Allah pasti mempunyai hikmah tersendiri, walaupun mereka belum mampu melihat keseluruhan hikmah tersebut.

“Kami manusia biasa. Ada masa kami kuat. Ada masa kami risau. Ada masa kami tertanya-tanya bagaimana perjalanan ini nanti.

“Mungkin inilah salah satu ujian yang Allah amanahkan kepada kami,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi bersyukur kerana diagnosis tersebut memberikan mereka arah yang lebih jelas untuk membantu Khalisa.

Menurutnya, mereka kini tahu perkara yang perlu dicari dan dipelajari, selain bantuan yang mungkin diperlukan Khalisa serta perkara yang perlu mereka ubah dan pelajari sebagai ibu bapa.

“Terapi akan diteruskan. Kami akan cari sebanyak mungkin ilmu dan bantuan yang sesuai untuknya. Termasuklah urusan pendaftaran OKU dan apa sahaja sokongan yang boleh membantu perkembangannya,” katanya.

Azmi turut menjelaskan bahawa perkongsian tersebut bukan bertujuan untuk meminta simpati, sebaliknya berharap kisah mereka dapat memberi manfaat kepada ibu bapa lain yang mungkin sedang melalui pengalaman sama.

Katanya, ibu bapa kadangkala terlalu mengharapkan anak menjadi seperti apa yang dibayangkan sehingga terlupa untuk mengenali siapa sebenarnya anak yang diamanahkan kepada mereka.

“Setiap anak ada kemampuan, kekurangan, kelebihan dan waktunya sendiri.

“Tugas kita bukan memaksa mereka menjadi seperti orang lain. Tugas kita ialah cuba memahami sejauh mana kemampuan mereka, membantu mereka berkembang sebaik mungkin dan meraikan setiap kemajuan, walaupun bagi orang lain ia kelihatan kecil.

“Kerana itu juga hak mereka sebagai anak,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Azmi berkata Khalisa masih merupakan anak yang sama seperti sebelum diagnosis tersebut, cuma kini dia dan isteri perlu belajar lebih banyak untuk memahami dunia anak mereka.

“Hari ini, Khalisa masih Khalisa yang sama. Cuma Ibu dan ayah sekarang perlu belajar lebih banyak untuk masuk ke dalam dunianya.

“Insya-Allah, kita belajar sama-sama, ya sayang.

“Doakan perjalanan kami dipermudahkan,” katanya.

Sumber:Azmi Saat
Intipati
  • Azmi Saat dan isteri menyedari perkembangan komunikasi Khalisa berbeza sejak usia kecil.
  • Doktor mengesahkan Khalisa berada dalam spektrum autisme, menyebabkan Azmi dan isteri sebak.
  • Azmi berkata terapi diteruskan, selain mencari ilmu, bantuan dan pendaftaran OKU.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan