Seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjadi korban kedua banjir di Johor apabila ditemui mati lemas di Kampung Bentong, Kluang, tengah hari tadi seperti memetik laporan Sinar Harian.
Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Law Hang Seng berkata, mangsa, Ikmal Hakimi Mahasan, 20, dipercayai dihanyutkan arus deras sebuah sungai yang melimpah di kampung itu pada jam 12.20 tengah hari.
Arwah yang merupakan penuntut tahun pertama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan, sebelum itu dikatakan mahu pergi ke rumah seorang rakan universitinya di kawasan sama.
“Semasa kejadian, bapa mangsa, Mahasan Mohd Daud, 50, memberitahu, Hakimi mahu ke rumah senior universitinya dikenali sebagai Amir di kawasan Kampung Bentong tetapi kawasan itu tidak dapat dilalui kerana dinaiki banjir.
“Mangsa juga ada memberitahu rakannya bernama Syafikh bahawa dia mendapat tahu ada jalan lain ke Kampung Bentong iaitu melalui jalan Kampung Melayu Nyior,” katanya memetik Sinar Harian.
Setelah itu, bapa arwah yang juga seorang guru cuba menghubungi telefon bimbit milik arwah tetapi tidak dijawab.
Katanya, mayat arwah kemudian ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh bersama kereta Perodua Axia milik arwah yang tidak jauh daripada situ.
“Kereta mangsa ditemukan dalam parit. Kita menjumpai kereta mangsa selepas air surut dan tidak menolak kemungkinan mangsa menaiki kereta semasa kejadian dan dihanyutkan arus deras, namun siasatan masih dijalankan,” katanya memetik Sinar Harian.
Jelas beliau, pihak polis sedang menyiasat sama ada mangsa semasa kejadian berlaku sedang memandu ke rumah rakannya itu atau berjalan kaki.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang di sini untuk bedah siasat.
Sumber: Sinar Harian
