Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai ditelan seekor ular sawa di dalam hutan di Kabupaten Kepulauan Sula, Maluku Utara, Indonesia, lapor Detik,com.
Mangsa yang dikenali sebagai Hasim Lumbesy ditemukan berada di dalam perut reptilia berkenaan sebelum penduduk bertindak membunuh ular tersebut bagi mengeluarkan jasadnya.
Menurut Ketua Polis Kepulauan Sula, AKBP Handres, kejadian berlaku di Desa Waisakai, Kecamatan Mangoli Utara Timur pada Isnin lalu, kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan.
Difahamkan, seorang saksi, Candra Umasugi bersama tiga rakannya sedang berjalan kaki dari Desa Pelita Jaya menuju ke Desa Waisakai sebelum menemukan beberapa barangan dipercayai milik mangsa.
Antara barangan yang ditemukan ialah beg galas, beg tangan dan selipar.
Selain itu, mereka turut terlihat kesan titisan darah di sekitar lokasi tersebut.
Berasa curiga, mereka kemudian merakam keadaan di lokasi sebelum mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Desa Pelita Jaya bagi memaklumkan penemuan itu kepada penduduk.
Susulan laporan tersebut, penduduk kampung menjalankan usaha mencari mangsa di kawasan berkenaan.
Ketika pencarian dilakukan, mereka menemukan kesan laluan ular sebelum akhirnya mengesan mangsa berada di dalam perut ular sawa berkenaan.
Penduduk kemudian membunuh ular tersebut dan membelah perutnya bagi mengeluarkan jasad mangsa.