Sakit gigi yang sering dialami setiap kali mengandung disangka sekadar salah satu simptom kehamilan, namun siapa sangka ia akhirnya dipercayai menjadi punca kepada jangkitan serius yang meragut nyawa seorang ibu.
Lebih memilukan, Allahyarhamah hanya mengambil Panadol ketika sakit dan tidak menyangka keadaan itu mempunyai kaitan dengan komplikasi lebih serius.
Kisah berkenaan dikongsi Eksekutif Operasi sebuah syarikat tempatan, Munir Samad Shukri, menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Samad, Allahyarhamah mula mengalami masalah sakit gigi sejak mengandung anak pertamanya pada 2018, diikuti kehamilan anak kedua pada 2021, dua kali keguguran pada 2023 dan kelahiran anak bongsunya, Abdul Syahid pada 2025.
Katanya, setiap kali hamil, Allahyarhamah akan mengalami sakit gigi, namun sakit berkenaan biasanya hilang selepas bersalin.
“Setiap kali Allahyarhamah hamil, dia akan sakit gigi. Namun selepas bersalin, sakit gigi pun hilang. Sangkaan kami itu salah satu simptom mengandung dan hanya mengambil Panadol ketika sakit,” katanya.
Selepas melahirkan Abdul Syahid, Allahyarhamah mula mendapatkan rawatan di klinik pergigian.
Bagaimanapun, ujarnya, doktor ketika itu menyarankan supaya rawatan mulut dilakukan terlebih dahulu kerana bimbang risiko lebih tinggi sekiranya cabutan gigi dibuat.
Namun, keadaan itu tidak diteruskan apabila Allahyarhamah tidak lagi mengalami sakit gigi.
Menurut Munir keadaan Allahyarhamah kemudiannya berubah apabila rawatan di hospital dimulakan pada Khamis, 10 September, berdasarkan keputusan ujian darah dan imbasan CT.
Jelasnya, tubuh Allahyarhamah tidak memberikan tindak balas positif terhadap rawatan, malah tekanan darah semakin menurun dan suhu badan meningkat secara mendadak.
Paru-Paru Dan Buah Pinggang Mula Gagal Berfungsi
Pada jam 1 pagi Jumaat, 11 September, keadaan Allahyarhamah semakin kritikal apabila paru-parunya mula tidak berfungsi.
“Pukul 1 pagi, paru-paru mula tak berfungsi, terpaksa ditidurkan dan dimasukkan alat pembantu pernafasan.
“Pukul 2 pagi, jantung berhenti selama 15 minit dan CPR dibuat ke atas Allahyarhamah,” katanya.
Samad berkata, kira-kira jam 7 pagi, buah pinggang Allahyarhamah pula mula tidak berfungsi.
Ketika bertemu doktor pakar pada waktu itu, beliau teringat kembali mengenai sejarah sakit gigi Allahyarhamah lalu memaklumkannya kepada doktor.
“Ketika berjumpa dengan doktor pakar pada waktu ini baru saya teringat tentang sakit gigi Allahyarhamah dan maklumkan kepada doktor pakar,” ujarnya.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU), jantung Allahyarhamah sekali lagi terhenti.
Samad berkata, ketika tiba di ICU, tangan dan kaki Allahyarhamah sudah mula sejuk serta berubah warna menjadi kebiruan.
Doktor pakar kemudiannya memaklumkan berdasarkan keadaan dan pengalamannya, Allahyarhamah dipercayai sudah tidak mempunyai banyak masa sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Menurut Munir doktor turut menyarankan supaya Allahyarhamah diajar mengucap syahadah.
Pada jam 4.10 petang, Allahyarhamah akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
Doktor Kaitkan Jangkitan Dengan Sakit Gigi
Munir berkata, doktor pakar kemudian memaklumkan bahawa kuman yang menyerang tubuh Allahyarhamah dipercayai berpunca daripada masalah sakit gigi yang dialaminya sebelum ini.
Punca kematian Allahyarhamah direkodkan sebagai sepsis teruk dengan kegagalan pelbagai organ (severe sepsis with multi-organ failure), iaitu keadaan apabila jangkitan serius menyebabkan tindak balas melampau dalam badan sehingga menjejaskan fungsi beberapa organ.
Kisah tersebut menjadi peringatan bahawa masalah sakit gigi yang berulang, terutama jika berlarutan, tidak seharusnya dianggap perkara biasa dan wajar mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Semoga perkongsian Munir menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak mengambil mudah masalah kesihatan mulut dan mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami simptom yang berulang atau semakin teruk.

