Jim Frecklington OAM, yang dianggap sebagai jurubina kereta kuda diraja terakhir di dunia, meninggal dunia pada usia 76 tahun selepas bertarung dengan penyakit kanser, lapor ABC News.
Jim Frecklington meninggal dunia
Beliau menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat penjagaan warga emas di Manly pada Jumaat selepas sekian lama menjalani rawatan.
Frecklington, seorang penyokong tegar sistem beraja dan peminat sejarah, meninggalkan tiga kereta kuda yang dibina untuk keluarga diraja Britain.
Projek terbaharunya, Commonwealth Royal Coach untuk Raja Charles III, masih belum siap sepenuhnya, namun pasukannya kini sedang menyiapkan sentuhan terakhir.
Pelukis badan kenderaan dan sahabat Frecklington, Owen Webb, berkata kereta kuda itu dijangka mencapai kira-kira 98 peratus tahap siap pada penghujung minggu.
“Saya berharap ia dapat disiapkan supaya beliau sempat melihatnya.
“Saya fikir beliau akan pergi dengan tenang kerana tahu projek itu berada di tangan yang baik dan kami akan menyiapkannya untuk beliau,” katanya.

Kereta kuda seberat lebih tiga tan itu dibiayai melalui pembiayaan semula rumah milik Frecklington dan dibina bagi memperingati lebih 1,000 tahun pemerintahan beraja Britain.
Ia dihiasi dengan lapisan emas yang dipasang secara manual, menggunakan kayu dari Westminster Abbey serta dilengkapi tingkap elektrik dan sistem penghawa dingin.
“Kereta kuda ini akan menjadi khazanah negara Britain,” kata Frecklington kepada ABC ketika lawatan ke bengkelnya pada Disember 2024.
Walaupun menerima diagnosis penyakit terminal ketika projek itu sudah berjalan selama hampir sedekad, Frecklington tetap berharap dapat menyerahkan sendiri kereta kuda yang telah disiapkan itu.
Webb, yang berasal dari Moss Vale dan terlibat dalam ketiga-tiga projek kereta kuda Frecklington, menyifatkan sahabatnya itu meninggalkan legasi yang besar.
“Kereta-kereta kuda itu digunakan ketika pembukaan Parlimen dan upacara pertabalan.
“Beliau seorang insan hebat yang menghasilkan sesuatu yang hebat,” katanya.
Australians for Constitutional Monarchy (ACM) pula menyifatkan sumbangan Frecklington sebagai sesuatu yang besar kepada sejarah monarki Britain.
“Dunia monarki ini menjadi jauh lebih baik hasil kerja Frecklington,” menurut kenyataan ACM yang disiarkan dalam talian.
Menurut pertubuhan itu, hanya segelintir tukang yang berpeluang membentuk tradisi dan istiadat sesebuah monarki, apatah lagi melakukannya dua kali untuk dua pemerintahan berbeza dari sebuah bengkel di pantai utara Sydney.
ACM turut menyifatkan Frecklington sebagai seorang tukang yang sabar dan mempunyai sikap rendah diri meskipun menghasilkan karya untuk keluarga diraja.
Dari 'budak' ladang kepada tukang kereta kuda diraja
Dilahirkan di Parkes, New South Wales, minat Frecklington terhadap pembuatan kereta kuda bermula ketika beliau berusia lapan tahun selepas seekor kuda Shetland miliknya enggan ditunggang.
Menurut kaunselor Warringah dan sahabatnya sejak kecil, Darren Jones, Frecklington menyelesaikan masalah itu dengan membina sebuah kereta kecil dan memujuk kudanya untuk menarik sebuah treler.
Selepas menamatkan pengajian di The Scots College di Sydney pada 1968, Frecklington berpindah ke kawasan Artik untuk mengendalikan jentera berat yang digunakan bagi membina landasan udara.
Empat tahun kemudian, beliau berpindah ke England dan bekerja di Windsor Castle, menguruskan pasukan kuda empat ekor milik Duke of Edinburgh.
Beliau kemudiannya berpindah ke Royal Mews di London untuk menjaga kuda istiadat milik Ratu Elizabeth II.
“Jim pernah menunggang kuda bersama Ratu, yang sememangnya satu keistimewaan besar,” kata Jones.
Pada 1977, Frecklington dilantik untuk menguruskan Pameran Jubli Perak Elizabeth II ketika ia dibawa menjelajah Australia.
Beliau turut menghasilkan replika kereta kuda State Landau milik Raja Edward VII yang dibina pada 1902.
Frecklington kemudiannya membina Australian State Coach sebagai hadiah rasmi Australia kepada Ratu Elizabeth II sempena sambutan Bicentenary Australia pada 1988.
Pada 2006, beliau menghasilkan Diamond Jubilee State Coach sempena ulang tahun ke-80 kelahiran Ratu Elizabeth II.
Kereta kuda Diamond Jubilee State Coach itu kemudiannya digunakan dalam upacara pertabalan Raja Charles III pada 2023 kerana Commonwealth State Coach masih belum siap ketika itu.
Jones berkata Frecklington dianggap sebagai tukang kereta kuda terakhir di dunia, namun keistimewaannya ialah beliau tidak bergantung kepada pelan teknikal ketika menghasilkan karyanya.
“Beliau tidak mempunyai sebarang pelan. Semuanya ada dalam fikirannya dan beliau mampu menterjemahkan idea itu kepada tukang-tukang daripada pelbagai bidang.
“Saya fikir itulah antara legasi terbesar yang ditinggalkan Jim, tahap kecemerlangan yang tinggi dan beliau tidak mengharapkan sesuatu yang kurang daripada itu,” katanya.

