Hab lithium China di wilayah Sichuan akan mencatu bekalan elektrik kepada kilang-kilang sehingga Sabtu (20 Ogos) berikutan permintaan terhadap sumber tenaga meningkat dan ketiadaan air di kawasan tadahan, lapor media tempatan.
Bacaan suhu bagi wilayah yang menempatkan 84 juta penduduk tersebut dianggarkan kira-kira 40 sehingga 42 darjah Celcius sejak minggu lepas, menurut data daripada Badan Pentadbiran Meterologi China. Maka, tidak hairanlah fenomena alam ini telah meningkatkan kadar penggunaan alat pendingin hawa.
Tenaga elektrik di kawasan tersebut bergantung pada empangan yang menjana tenaga kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan, tetapi sungai-sungai di kawasan tersebut didapati sudah kering pada musim panas kali ini, Kementerian Sumber Air memberikan kenyataan.
Wilayah yang terletak pada barat daya China ini merupakan tempat penghasilan separuh daripada bekalan bateri lithium bagi keseluruhan negara tersebut. Bateri lithium biasa digunakan pada kenderaan elektrik, telefon pintar dan lain-lain. Terdapat projek hidrokuasa yang bertujuan untuk membekalkan tenaga kepada hab industri tersebut melalui pantai timur negara itu.

Penggantungan Operasi Kilang-Kilang di Wilayah Sichuan
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan memutuskan untuk mengutamakan bekalan kuasa bagi kegunaan domestik. Oleh itu, mereka mengarahkan 19 daripada 21 buah bandar di wilayah tersebut untuk mengantung proses pembuatan sehingga Sabtu, berdasarkan notis yang dikeluarkan pada Ahad.
Beberapa syarikat termasuk pengeluar aluminium, Henan Zhongfu Industrial dan pengeluar baja Sichuan Meifeng Chemical Industry memberikan kenyataan dalam penyata bursa saham bahawa mereka akan menggantung proses pengeluarannya.
Selain itu, sebuah jana kuasa yang dioperasikan oleh sebuah syarikat gergasi Taiwan dan pembekal Apple, Foxconn juga telah menggantung proses pembuatannya di wilayah tersebut, lapor Taipei’s Central News Agency.
Manakala, hanya beberapa syarikat yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti terhad, bergantung pada keperluan pembuatan.
“Terdapat anggaran sekurang-kurangnya 1,200 tan keluaran litium akan dipotong berikutan gangguan operasi dalam masa lima hari ini,” Susan Zou, seorang penganalisis Rystad Energy memberitahu AFP. Beliau juga menambah bahawa kos lithium karbonat telah meningkat sejak Isnin lalu.

Cuaca Panas Melampau di Seluruh Bandar China
Cuaca ekstrem pada musim panas ini menyebabkan beberapa bandar utama di China merekodkan hari terpanasnya.
Disebabkan itu, balai cerap China telah mengeluarkan kembali amaran merah mengenai cuaca panas pada Isnin, menurut media tempatan.
Tambahan, wilayah Zhejiang, Jiangsu dan Anhui yang bergantung pada bahagian barat China juga telah mengeluarkan sekatan elektrik untuk pengguna industri bagi memastikan semua rumah memiliki bekalan kuasa yang mencukupi.
Rentetan peristiwa yang berpunca daripada cuaca ekestrem ini tidak terhad kepada peningkatan kadar penggunaan elektrik serta kekeringan kaawsan tadahan air, cuaca ekstrem ini juga menjadi punca utama banjir kilat yang telah meragut empat nyawa sebelum ini.

Para saintis berkata kadar kekerapan cuaca ekstrem di seluruh dunia menungkat disebabkan oleh perubahan iklim, dan berkemungkinan akan menjadi lebih dahsyat apabila suhu global meningkat.
BACA JUGA: Empat Terkorban, Tiga Parah Banjir Kilat Di China
Sumber: Channel News Asia
