Seorang lelaki berusia 58 tahun didakwa mencabul dua orang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan 9 tahun, lapor Tribun.
Lelaki yang berasal daripada Imogiri, Indonesia itu disyaki kesepian kerana telah ditinggalkan isterinya sehinggakan sanggup untuk melakukan perbuatan terkutuk itu kepada dua orang kanak-kanak yang juga merupakan penghuni rumah anak yatim.
Bagi memastikan tindakannya itu berhasil, suspek dilaporkan mengumpan mangsa dengan sejumlah wang.
“Suspek disyaki telah beberapa kali melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak,” kata Ketua Polis PPA Bantul, Aipda Musthafa Kamal.
Musthafa menyatakan bahawa perbuatan terkutuk yang dilakukan oleh suspek telah terjadi sebanyak dua kali.
Kejadian pertama berlaku pada 1 November 2020 manakala yang kedua pula pada 6 November 2020.
Kejadian terakhir, katanya, terjadi ketika mangsa sedang bermain bersama dengan rakan-rakannya di sebuah kawasan air terjun yang dilaporkan dijaga oleh suspek.
Tanpa disangka, suspek secara tiba-tiba telah masuk ke dalam kawasan air terjun terbabit dan seterusnya mencabul mangsa.
Setelah melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek telah mengugut mangsa supaya mangsa tidak melaporkan kejadian itu kepada orang lain.
Namun segalanya terbongkar apabila mangsa membuat keputusan untuk mengadu kejadian itu kepada ibu saudaranya yang secara kebetulan mengunjungi rumah anak yatim berkenaan.
“Pihak keluarga akhirnya bekerjasama dengan rumah anak yatim untuk melaporkan kejadian ini kepada polis. Suspek telah berjaya kami tahan,” katanya.
Menurut Musthafa, suspek telah ditahan dan kini sedang dalam proses untuk didakwa.
Selain melakukan soal siasat ke atas mangsa dan memeriksa suspek, pihak polis juga telah bekerjasama dengan sebilangan pihak untuk memberikan bantuan moral kepada mangsa.
“Kami melibatkan beberapa pihak untuk memberi bimbingan psikologi kepada mangsa,” katanya.
Atas tindakannya itu, suspek akan didakwa mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak.
Sekiranya didapati bersalah, suspek bakal dikenakan hukuman penjara selama 5 hingga 15 tahun paling maksimum.
Sumber: Tribun