Seorang individu telah berjaya ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kerana disyaki menyebarkan berita palsu berkenaan dengan penularan wabak Novel Coronavirus pada 28 Januari 2020.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), suspek yang berumur 34 tahun itu telah ditahan di Bangi, Selangor pada jam 4 petang semalam.
Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik kandungan mengenai wabak Novel Coronavirus yang didapati palsu itu di laman Facebook.
Suspek bakal disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Jika didapati bersalah suspek bakal dikenakan hukuman denda maksimun RM 50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya. Suspek juga turut boleh didenda selanjutnya Rm 1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Dalam pada itu, MCMC dan PDRM masih sedang giat mengesan tiga lagi suspek dipercayai melakukan kesalahan yang sama untuk membantu siasatan.
Pihak MCMC dengan kerjasama PDRM juga turut memberi amaran kepada orang ramai bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati menyebar kandungan, khabar angin atau berita tentang penularan Novel Coronavirus di Malaysia.
Sumber: MCMC