Seoul: Perdana Menteri Chung Sye-kyun pada Rabu memberi amaran, kerajaan akan menjatuhkan hukuman setimpal mungkin kepada doktor perubatan yang menyertai perhimpunan haram sekiranya mereka ingkar arahan kembali bertugas, lapor agensi berita Yonhap.
“Mulai sekarang, kerajaan akan bertindak dengan pantas dan tegas terhadap tindakan berkumpulan (oleh doktor) bagi melindungi nyawa dan keselamatan rakyat,” kata perdana menteri itu dalam mesyuarat tergempar kerajaan untuk menangani mogok yang sedang berlangsung.
“(Pemerintah) akan melaksanakan hukuman maksimum mengikut lunas undang-undang ke atas doktor yang meninggalkan tugas tanpa kebenaran,” katanya.
Amaran itu dikeluarkan beberapa jam selepas Presiden Moon Jae-in mengarahkan kerajaan supaya lebih bertegas dalam menangani mogok itu menerusi ‘prinsip penguatkuasaan’ undang-undang.
Membantah rancangan pembaharuan perubatan kerajaan yang termasuk menaikkan kuota kemasukan ke sekolah perubatan, ribuan doktor termasuk pelatih sepenuh masa dan pengamal swasta, melakukan mogok tiga hari penuh awal hari ini.
Perhimpunan itu memaksa lima hospital utama di negara ini memendekkan waktu klinik dan menangguhkan pembedahan yang dijadualkan, memberi kesan besar kepada perkhidmatan perubatan.
— BERNAMA
