Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Doktor Terkejut Temui Ratusan Bintik Putih Dalam Lutut Pesakit
SEOUL — Seorang doktor terkejut apabila hasil imbasan X-ray lutut seorang pesakit wanita memaparkan ratusan bintik putih, lapor Live Science.
Difahamkan, warga emas berusia 65 tahun itu disahkan menghidap osteoartritis lutut, iaitu masalah sendi degeneratif yang menyebabkan kesakitan teruk dan kekakuan.
Pesakit itu mendedahkan bahawa dia sebelum ini juga pernah dirawat dengan ubat tahan sakit, ubat anti-radang dan suntikan steroid.
Bagaimanapun, dia memilih rawatan alternatif akupunktur secara berulang kali kerana mengalami kesakitan yang berterusan.
Kaedah tersebut dipercayai bertujuan memberi rangsangan berterusan bagi mengurangkan sakit sendi.
Setelah beberapa tempoh, dia kembali ke hospital kerana mengadu lututnya terasa amat sakit. Susulan itu, doktor mengambil keputusan untuk melakukan imbasan X-ray pada lutut kiri.
Hasil imbasan mendedahkan bahawa tulang kering di bahagian dalam sendinya telah menebal dan mengeras. Terdapat juga pertumbuhan tulang (spur) pada bahagian dalam tulang kering dan tulang paha berhampiran sendi lutut.
Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah doktor turut menemui ratusan bintik kecil pada X-ray di sekitar sendi lututnya dan rupa-rupanya ia adalah benang emas halus.
Hasil siasatan mendapati benang-benang tersebut telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada rawatan akupunktur yang diterimanya.
Benang emas pendek dan steril itu sengaja ditinggalkan dalam tisu untuk memberi rangsangan berterusan.
Bagaimanapun, doktor memberi amaran rawatan berkenaan tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh.
Malah, dalam beberapa kes, benang emas dilaporkan boleh menyebabkan pembentukan sista, berpindah ke bahagian tubuh lain, merosakkan tisu, serta menyukarkan bacaan X-ray dan imbasan MRI.
Kes serupa pernah dilaporkan berlaku sebelum ini melibatkan seorang wanita Korea Selatan berusia 75 tahun yang mengalami jangkitan kulit serius selepas benang emas dalam badannya berpindah ke bahagian kaki dalam tempoh 10 tahun.
Untuk maklumat, rawatan akupunktur benang emas sering digunakan di Asia untuk merawat osteoartritis dan artritis reumatoid. Namun, tiada bukti kukuh bahawa rawatan ini berkesan.
Sumber: Live Science