Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dr Afif Letak Jawatan Exco Pulau Pinang – Chow

Gambar: Bernama

George Town: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu telah dinyatakan oleh Dr Afif semasa perbincangan di sini hari ini.

Dr Afif menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri berkuat kuasa hari ini.

“Saya telah membentangkan surat peletakan jawatan ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang bermesyuarat hari ini dan kami terima keputusan itu. Keputusan peletakan jawatan ini akan dimaklumkan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

“Salinan surat itu juga akan diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), penasihat undang-undang negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kewangan negeri,” katanya pada sidang media bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dr Afif bagaimanapun tidak hadir pada sidang media itu.

Chow berkata Dr Afif masih kekal sebagai ADUN Seberang Jaya mewakili PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Memandang terdapat kekosongan (jawatan) berikutan keputusan itu, PKR dijangka akan bermesyuarat sebelum menamakan calon-calon baharu untuk mengisinya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu, Chow berkata pejabat undang-undang kerajaan negeri sedang berhubung dengan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat mengenai perlembagaan dan peruntukan undang-undang.

“Pada masa ini, kami tidak pasti tentang status Bersatu memandangkan ia mempunyai lebih daripada satu kumpulan dalam parti…jadi kami biarkan perkara ini diselesaikan dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Komposisi kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ketika ini terdiri daripada PH yang merangkumi DAP menguasai 19 kerusi, PKR (14) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan dua kerusi daripada keseluruhan 40 kerusi.

Bersatu dan Barisan Nasional masing-masing mempunyai dua kerusi manakala PAS hanya satu kerusi.

Sumber: Bernama