Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dua ADUN Bersatu Sokong Menteri Besar Pahang - Ahmad Faizal

Dua ADUN Bersatu
Kredit: Bernama

KUANTAN, 26 Ogos (Bernama) -- Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan hari ini berkata mereka yang terlibat adalah ADUN Kuala Sentul Datuk Jasri Jamaluddin dan ADUN Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus.

“Tindakan ini dibuat melalui satu pemeteraian perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani oleh Menteri Besar Pahang dan kedua mereka. Dua ADUN tersebut telah menyatakan hasrat mereka kepada pucuk pimpinan parti untuk berbuat demikian dan menyerahkan kepada parti membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan oleh presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah membincangkan perkara berkenaan, sekali gus menyokong tindakan tersebut.

“Keputusan ini dibuat untuk menjamin kestabilan politik di negeri Pahang dan memastikan kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan DUN berkenaan mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan negeri Pahang,” katanya.

Komposisi semasa DUN Pahang ialah Barisan Nasional (17), Pakatan Harapan (8) dan Perikatan Nasional (17) dan lima ADUN lantikan.

Sumber:BERNAMA