Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Disaran Bangunkan Sistem Amaran Jerebu - Pakar

Malaysia disaran
Kredit: Bernama

KUALA NERUS, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia disaran membangunkan sistem amaran awal jerebu bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi episod pencemaran udara susulan situasi berulang, sekali gus melindungi kesihatan awam.

Pengarah Kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Besut Prof Madya Dr Azman Azid berkata sudah tiba masanya Malaysia mengambil langkah menukar pendekatan daripada pengurusan krisis kepada pencegahan krisis yang lebih proaktif.

Beliau yang juga penyelidik kualiti dan alam sekitar berkata sebahagian besar data diperlukan untuk pembangunan sistem amaran awal jerebu sudah tersedia dan boleh digabungkan bagi membolehkan risiko jerebu dikesan lebih awal, sekali gus mengurangkan kes penyakit berkaitan sistem pernafasan atau respiratori.

“Dalam kita memberi perhatian kepada bacaan Indeks Pencemaran (IPU) dan pergerakan asap, terdapat satu perkembangan yang jauh lebih membimbangkan iaitu kesan terhadap kesihatan masyarakat. Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan bahawa pemantauan antara Minggu Epidemiologi ke-32 dan ke-33 menunjukkan kes asma meningkat sebanyak 259 peratus, iaitu daripada 61 kes kepada 219 kes.

“Ini menunjukkan isyarat bahawa ketika negara berhadapan dengan kemerosotan kualiti udara, beban penyakit respiratori juga mencatat peningkatan sangat ketara.

Oleh itu, kita perlu mengubah cara negara menangani jerebu, iaitu daripada pendekatan memantau, beri amaran serta bertindak kepada pendekatan proaktif termasuk meramal, mencegah, melindungi dan bertindak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata Malaysia sudah mempunyai sistem ramalan cuaca dan sudah tiba masanya negara mempunyai sistem ramalan jerebu yang mudah difahami masyarakat.

Beliau berkata sistem amaran jerebu dan kesihatan boleh dibangunkan dengan mengintegrasikan data titik panas, imej satelit, meteorologi, trajektori udara, IPU, corak penyakit respiratori serta pertikel halus berdiameter 2.5 mikrometer (PM2.5).

Menurutnya, data titik panas boleh menunjukkan lokasi kebakaran, imej satelit bagi mengenal pasti kepulan asap, data meteorologi menentukan arah serta kelajuan angin, manakala model trajektori atmosfera menganggarkan arah jisim udara datang dan bergerak.

Katanya, sekiranya model menunjukkan peningkatan PM2.5 di sesuatu kawasan dalam masa 48 hingga 72 jam, pihak hospital dan klinik boleh meningkatkan tahap kesiapsiagaan lebih awal, manakala sekolah berpeluang merancang semula aktiviti luar untuk para pelajar.

“Malaysia juga terlibat dalam kerjasama serantau melalui Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Persoalannya bukan sama ada kita mempunyai data, tetapi sejauh mana data tersebut benar-benar digabungkan bagi membolehkan jerebu diramal lebih awal.

“IPU sememangnya penting kerana ia menjadi sumber maklumat berkaitan keadaan semasa kualiti udara, tetapi daripada sudut pengurusan risiko, menunggu IPU meningkat sebelum tindakan diambil bermaksud kita hanya bertindak selepas pencemar berada dalam udara. Sistem amaran awal jerebu tidak perlu menggantikan IPU, sebaliknya melengkapkan,” katanya.

Azman berkata pada masa sama pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam memperkukuh serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan pembakaran terbuka, kebakaran tanah dan pengawasan kawasan gambut dalam negara.

Beliau berkata kerjasama antara negara ASEAN juga perlu bergerak lebih progresif seperti dalam bidang pemetaan sumber kebakaran, ramalan trajektori asap, perkongsian teknologi, bantuan pemadaman dan mekanisme tindak balas berbanding sekadar perkongsian data serta tindakan.

“Secara realitinya udara dan asap tidak mengenal sempadan negara. Justeru, kerjasama ASEAN perlu diperkukuh agar tindakan boleh diambil sebelum pencemaran berkembang menjadi krisis serantau.

“Teknologi, penguatkuasaan dan diplomasi sahaja tidak mencukupi. Penyelesaian jerebu memerlukan gabungan pencegahan kebakaran, pengurusan tanah gambut, pemodelan atmosfera, kerjasama serantau dan penggunaan tanah lebih mampan.

“Dalam jangka masa pendek, kita mungkin tidak dapat menghalang setiap kepulan asap daripada memasuki negara, tetapi kita masih mampu mengurangkan kebakaran, meramal pergerakan asap lebih awal dan lebih penting menjaga kesihatan awam,” katanya.

Sumber:BERNAMA