Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dua Kios Jual Telefon Bimbit Dirompak

penyanyi

ARAU, 4 Ogos – Dua kios menjual telefon bimbit di sebuah pasar raya di sini dirompak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Nanda Maarof berkata pada 9.15 pagi, pengawal keselamatan yang bertugas di pasar raya berkenaan mendapati pintu masuk bahagian belakang pasar raya itu terbuka, dipercayai dilanggar forklift.

“Pemeriksaan mendapati dua kios yang menjual telefon bimbit dalam keadaan berselerak akibat dipecah masuk dan pengadu bertindak membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang suspek memakai sweater berwarna kelabu bertindak memecah masuk pasar raya itu kira-kira 4.05 pagi.

“Suspek bertindak memandu forklift milik pasar raya itu dan melanggar pintu kaca di bahagian belakang pasar raya…suspek kemudian menggeledah kios pertama dan mencuri 25 telefon bimbit yang diletakkan di dalam rak kaca kios,” katanya.

Nanda berkata selepas itu, suspek bergegas ke tingkat satu dan menuju ke sebuah lagi kios dan mencuri lima telefon bimbit pelanggan yang rosak, wang syiling bernilai kira-kira RM200 dan wang kertas anggaran RM400.

Beliau berkata suspek menggunakan laluan sama untuk beredar kira-kira 4.22 pagi, nilai kerugian keseluruhan bagi kedua-dua kios berjumlah RM13,680 dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA