
Dua Wanita Ditemui Maut Dalam Keadaan Tragis
Dua suspek yang ditahan kerana dipercayai membunuh seorang wanita warga Uzbekistan serta membuang mayatnya tanpa kepala ke dalam tong sampah, disyaki membunuh wanita kedua dengan cara sama.
AFP melaporkan kedua-dua mangsa, yang juga warga Uzbekistan dipercayai dibunuh di lokasi sama sekitar 23 Januari lalu di daerah Sisli, Istanbul.
Pihak polis menemukan mayat tanpa kepala milik Durdona Khakimova, 37, yang dibalut dengan cadar sebelum dicampakkan ke dalam tong sampah pada 24 Januari lepas.
Difahamkan, kedua-dua kakinya turut dipotong.
Hasil penelitian rakaman CCTV membawa kepada penahanan dua lelaki warga Uzbekistan di lapangan terbang Istanbul ketika mereka cuba meninggalkan negara itu.
Pihak berkuasa kini percaya kedua-duanya turut membunuh seorang lagi wanita, Ergashalieva Sayyora, 32, selepas cebisan mayat mangsa ditemui di beberapa tong sampah di sekitar Istanbul.
Sayyora dilaporkan tiba di Turkiye pada 28 Disember 2025 dan masih berhubung dengan keluarganya sehingga 23 Januari lalu.
Siasatan kehilangan wanita itu mendapati dia menetap di kediaman yang sama tempat Khakimova dibunuh.
Difahamkan, kedua-dua mangsa tinggal bersama suspek selama kira-kira sebulan, dan Sayyora mempunyai hubungan dengan salah seorang daripada mereka.
Ketika soal siasat dijalankan, polis dimaklumkan bahawa Sayyora dibunuh menggunakan senjata tajam pada 23 Januari sebelum mayatnya dikerat-kerat.
Menurut AFP, kedua-dua suspek telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh.