Dulu “Hantu TV”, Anak Malaysia Kini Jurutera Nuklear Di Syarikat Terkemuka Dunia
Kalau imbas kembali zaman ketika kecil, kebanyakan daripada kita membesar dengan menonton kartun, bermain permainan video atau berbasikal pada waktu petang.
Namun lain pula seorang anak muda ini, minatnya dalam menonton televisyen (TV) secara suka-suka ketika kecil, akhirnya menjadi landasan yang membawanya mengejar impian dalam bidang kejuruteraan nuklear.
Itulah kisah penuh inspirasi Ikhwan Khaleb, anak jati Kuala Lumpur yang kini bergelar jurutera nuklear di sebuah syarikat antarabangsa terkemuka.
Benih Minat Tumbuh Dari Ruang Tamu Rumah
Kongsi anak bongsu dari tiga adik beradik itu, sejak kecil dia gemar menonton siri dan kisah berkonsepkan dokumentari.
“Minat bermula sejak kecil. Saya bertuah sebab banyak luang masa tengok discovery channel atau Nat Geo (National Geographic) dan selalu tengok saintis terangkan tentang tenaga nuklear.
“Dari situ, mula minat berkaitan nuklear dan berjinak-jinak dengan belajar dengan apa yang ada,” katanya.
Pada masa yang sama, Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) mula ditubuhkan pada 2010 ketika itu. Ia sekali gus menanamkan keyakinan dalam diri Ikhwan untuk mula menyelami dunia nuklear ini.
“Titik yang meyakinkan saya bila Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) ditubuhkan pada 2010 dengan cita-cita untuk bangunkan tenaga nuklear di Malaysia.
“Dekat situ saya rasa ada peluang untuk bekerja sebagai jurutera nuklear dalam bidang tenaga nuklear.
Atas nasihat bapanya, Ikhwan mengambil dua ijazah sarjana muda Kejuruteraan Nuklear dan Kejuruteraan Mekanikal di Penn State University, Amerika Syarikat selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini memandangkan bidang ini masih kurang pendedahan di Malaysia termasuk bergantung kepada kestabilan politik dan penerimaan orang awam.
Meskipun kedua-dua pengajian ini ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), beliau mengakui bukan mudah untuk menamatkan dua pengajian satu tempoh sama.
Namun, dia berpegang pada satu prinsip iaitu setiap kerja yang dilakukan tidak boleh terhenti separuh jalan.
“Saya jenis yang tak gemar berhenti buat kerja separuh jalan. Jadi, bila dah buat keputusan untuk ambil dual degree tu memang saya dah commit untuk paksa diri habiskan. Jadi masa, motivasi dan tenaga tu automatik datang dengan sendiri.
“Dalam masa yang sama saya cuba buat yang terbaik, cuma kadang ada benda yang memang di luar kawalan kita jadi the rest tu saya redha kat Allah je.
Seperti kebanyakan pelajar, Ikhwan terpaksa menempuh pelbagai cabaran sewaktu belajar, malah ada ketika, dia juga berdepan situasi ‘burn out’.
Ibu, Bapa, Sahabat Handai Tempat Berpaut Dikala Darah Muda ‘Muncul’

Namun, dia meluahkan rasa syukur kerana ada orang-orang di sekelilingnya sebagai tulang belakang kekuatan sekali gus menjadi pembakar semangat dalam meneruskan pengajian.
“Cabaran terbesar ialah cubaan untuk bahagikan masa. Zaman muda-muda biasalah nak juga berfoya-foya seperti main game, sukan.
“Tapi kadang-kadang memang tak sempat dan terpaksa korbankan masa. Lagi-lagi bila dah masuk tahun ketiga dan ke atas, yang mana courseload tu makin bertambah.
“Saya rasa setiap orang akan rasa putus asa. Biasanya, saya akan rehat kejap, pergi riadah, pergi jalan tenangkan otak dan lepak dengan kawan-kawan atau call family untuk release stress.
“Saya rasa human connections ni yang paling penting dalam semua. Sebab orang-orang di sekeliling saya yang buatkan saya bersemangat bila rasa down,” luahnya lagi.
Pun begitu, cabaran sebenar bermula beberapa bulan sebelum Ikhwan bergraduasi pada tahun 2018, apabila Malaysia membubarkan Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) dan membatalkan pelan tenaga nuklear negara.
Ia sekali gus memberi bayangan bahawa impiannyai dalam dunia nuklear seakan terkubur.
Pulang Ke Tanah Air
Pulang ke Malaysia, Ikhwan hanya sempat bekerja selama empat bulan di syarikat kren, MHE-Demag sebelum mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Namun, semuanya tampak kembali menyinar apabila bekerja di Wehaya Process. Pihak syarikat yang melihat potensi dalam diri Ikhwan memberikan sokongan sebelum Ikhwan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Nuklear di University of Michigan, Amerika Syarikat dengan tajaan MARA pada 2023.
Sewaktu belajar, Ikhwan sempat berguru dengan Profesor Won Sik Yang, mentor berpengalaman lebih 40 tahun sewaktu dalam pasukan reka bentuk reaktor.
Ia secara tidak langsung membuka lembaran baharu dalam memanjat ke puncak impiannya, dengan hari-hari diisi dengan komitmen belajar dan bekerja dari 9 pagi hingga 12 malam.
Hasilnya, Ikhwan berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang CGPA 4.0.
Lebih 3 Jawatan Kerja Apply Sehari Dalam Setahun, Hampir Semua Reject
Meskipun meraih keputusan cemerlang dalam akademik, Ikhwan berdepan kesukaran dalam mencari pekerjaan di luar negara.
Akhirnya, Ikhwan meluahkan rasa syukur selepas menjadi salah seorang individu yang bertuah untuk berkhidmat di Holtec Inernational, sebuah syarikat nuklear terkemuka.
“Pengalaman cari kerja di US mencabar terutamanya untuk orang luar dalam bidang nuklear sebab perlukan security clearance. Saya apply kerja selama 1 tahun.
“Dalam 1 tahun tu, setiap hari sekurang-kurangnya saya akan apply 3 positions. Dalam semua yang saya apply tu, saya hanya dapat 5 panggilan, dan 1 offer je.
“Kebanyakannya reject disebabkan saya orang luar. Jadi, saya sangat bertuah dan bersyukur dengan rezeki yang Allah bagi ni. Saya rasa ni peluang untuk saya belajar banyak-banyak dan bawa balik ke Malaysia nanti.
Beza Cara Kerja Di Malaysia Dan AS

“Memandangkan di Malaysia kita tiada lagi tenaga nuklear, jadi perbandingan mungkin tak berapa kukuh. Cumanya perbandingan yang paling ketara saya nampak antara Malaysia dan AS ialah cara kerja.
“Di AS, normal untuk kita tegur dan pertikai sekecil-kecil salah laku kerja walaupun pekerja tu senior,manager,boss level. Benda ni dah macam tertanam dalam jiwa kerja di sini.
“Benda ni akan kurangkan kesalahan dan tingkatkan keselamatan lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan pengurusan nuklear.
“Malaysia juga mempunyai regulasi dan penguatkuasaan yang ketat berkaitan nuklear cuma kita mungkin boleh perbaiki dengan jadi lebih kritikal dan jangan pernah selesa dan kualiti kerja kita,” katanya.
Cabaran Dalam Bidang Nuklear

Setelah lebih beberapa tahun membina karier dalam bidang ini, Ikhwan menjelaskan antara cabaran paling besar ialah dinamik kerja.
“Kalau kita nak bina sebuah reaktor, ada banyak cabang yang perlu kita selidik. Bila cabangnya banyak, sudah tentu input pun bertambah.
“Contohnya, analisis untuk nuklear (core reactivity) dah nampak cantik, tapi tiba-tiba bahagian thermal (pengurusan haba) pula kata reka bentuk itu perlu diubah sedikit kerana tidak melepasi aspek keselamatan haba.
“Bila kita ubah, bahagian struktur pula tidak memenuhi standard keselamatan struktur. Inilah dinamik paling mencabar, kita perlu mencari titik tengah yang membolehkan semua kriteria dipenuhi,” kongsinya lagi.
Mahu Mencurah Ilmu Di Tanah Air Tercinta

Namun, perjalanannya belum berakhir di sini, impian Ikhwan seterusnya adalah membawa pulang segala ilmu dan kepakaran yang dipelajari di luar negara untuk memacu kemajuan tanah air tercinta.
“Harapan saya rakyat Malaysia akan lebih arif tentang tenaga bukan saja tenaga nuklear dan persepsi negatif terhadap tenaga nuklear dapat diperbetulkan. Kita perlukan tenaga nuklear untuk kita bergerak lebih maju.
“Saya juga harap ramai rakyat Malaysia untuk ceburi bidang ini, insyaAllah kalau kita betul-betul komited kita boleh jadi pelopor tenaga nuklear di Asia Tenggara.
“Jadi, saya akan sumbangkan ilmu dan kepakaran saya yang mungkin tak seberapa untuk tolong Malaysia bangunkan tenaga nuklear yang pertama,” luahnya.

Daripada seorang budak yang suka tengok Nat Geo, kini Ikhwan Khaleb menjadi salah seorang anak Malaysia yang mengharumkan nama negara dalam bidang paling sukar di dunia.
Kisahnya bukan hanya membuka mata tentang potensi tenaga nuklear di Malaysia, tetapi turut menyuntik semangat kepada generasi muda untuk tidak pernah menyerah kalah dalam mengejar impian, meskipun laluan itu jarang dilalui.
Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh mengikuti akaun TikTok dan Instagram Ikhwan.