Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dulu Simpan Gambar, Wanita Perancis Terharu Akhirnya Dapat Tengok Masjid Putra Depan Mata

wanita perancis masjid putra
Kredit: hanakhis_

Dulu Simpan Gambar, Wanita Perancis Terharu Akhirnya Dapat Tengok Masjid Putra Depan Mata

Setiap orang pastinya mempunyai pelbagai impian, termasuk merantau ke negara orang. Kebiasaannya, ada faktor istimewa yang menjadi daya penarik untuk melancong ke negara tersebut seperti makanan, pemandangan dan rakyatnya.

Mungkin selama ini ada juga di antara kita yang hanya sekadar menyimpan gambar lokasi tersebut dan memasang impian untuk ke sana suatu hari nanti.

Akhirnya dapat melawat Masjid Putra

Itulah yang dilalui oleh seorang wanita Perancis, yang baru-baru ini berkongsi keterujaannya dapat melihat Masjid Putra di depan mata.

Menerusi perkongsian video di TikTok, @hanakhis_ berkata dia menyimpan gambar masjid itu dalam aplikasi Pinterest sejak 10 tahun lalu dan baru-baru ini dia akhirnya dapat melihat sendiri masjid berwarna pink itu yang tersergam indah.

“Lebih 10 tahun lalu, saya menyimpan gambar Masjid Putra di Malaysia dalam Pinterest bertajuk 'impian'.

“Hari ini, saya berada di Putrajaya. Betul-betul di hadapannya.

“Mengembara ke Malaysia suatu ketika dahulu hanyalah impian yang jauh. Menghayatinya dalam kehidupan sebenar terasa sangat berbeza.

“Jangan sesekali memandang remeh impian yang disimpan dalam diam. Alhamdulillah,” katanya.

Dalam beberapa video lain, Hana juga berkongsi suasana ketika dia memasuki masjid itu.

Menurutnya, dia sangat tenang ketika berada di dalamnya.

“Jika kamu semua rancang untuk melancong ke Malaysia, datanglah melawat masjid ini walaupun hanya untuk duduk dan melihat siling masjid.

“Momen-momen seperti ini membuatkan saya lebih bersyukur atas nikmat yang dikecapi selama ini, Alhamdulillah,” katanya lagi.

Selain itu, dia turut berkongsi pengalaman berbuka puasa di Masjid Asy-Syakirin, KLCC.

“Beberapa tahun lalu, ia hanyalah satu idea dalam fikiran saya. Hari ini, saya menjalani Ramadan di Malaysia, bersendirian dan tenang dengan diri sendiri,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai orang Malaysia yang turut teruja melihat pengalaman Hana dan tidak kurang juga ada yang berkongsi beberapa lagi masjid yang boleh dilawati di negara ini.

“Saya perasan orang negara ni suka sangat dengan Malaysia lagi-lagi yang Muslim. Komen dorang pun yang baik-baik je. Ramai yang suka dan teringin nak datang Malaysia. Alhamdulillah selamat berpuasa semua,” kata seorang netizen.

Sumber:@hanakhis_