Utama

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Belajar Di Malaysia, Lelaki Indonesia Kongsi 6 Pengalaman Yang Dilaluinya
Apabila menetap di negara orang, banyak pengalaman baik dan buruk yang perlu dilalui oleh kita semua. Namun, pengalaman itu juga boleh mematangkan fikiran.
Jauh dari keluarga dan tanah air, pastinya banyak perbezaan yang dapat dilihat dan membuatkan fikiran kita lebih terbuka.
Baru-baru ini, seorang lelaki dari Indonesia berkongsi pengalamannya menjadi seorang pelajar selama setahun di Malaysia.
Kadam Sidik yang juga dikenali sebagai seorang pempengaruh media sosial berkata pendapatnya adalah berdasarkan pengalaman peribadi yang dilalui olehnya.
Berikut enam pengalamannya sebagai pelajar di Malaysia.
Berdasarkan pengalamannya, para pelajar di Malaysia sangat dihargai
“Saya ada beberapa pengalaman. Di antaranya, saya pernah naik Grab beberapa kali. Ketika pemandu bertanya kepada saya “dari mana?”, saya beritahu dari Indonesia, kemudian mereka bertanya buat apa dan selepas saya menjawab saya ialah seorang pelajar, mereka begitu teruja, dengan wajah yang penuh senyuman,” katanya
Selain itu, dia juga pernah mendapat duit RM50 daripada seorang warga emas selepas memberitahu bahawa dia seorang pelajar.
“Saya tolak berkali-kali, kata tak payah tetapi tetap diberi juga,” katanya.
Menurutnya, orang Malaysia sangat mengagumi Buya Hamka, malah banyak buku-buku tokoh itu tersedia di perpustakaan.
“Perbincangan mengenai Buya Hamka ada di kafe-kafe, bahkan ada satu kafe yang bernama Buya Hamka.
“Bahkan saya sendiri merasa perbincangan mengenai Buya Hamka di Malaysia jauh lebih banyak berbanding ketika saya berada di Indonesia.
“Padahal saya sendiri juga mengagumi Buya Hamka. Buku pertama yang saya habiskan dahulu ketika saya ada di sekolah adalah buku Buya Hamka,” katanya.
Tertanya-tanya mengenai perkara tersebut, Kadam berkata dia melakukan pencarian di internet dan akhirnya mengetahui mengapa Buya Hamka sering disebut di negara ini.
“Ternyata Buya Hamka dulu pernah membela Malaysia dan rakyat Malaysia sampai hari ini tidak melupakan jasa itu,” ujarnya.
Antara pengalaman yang paling diingati olehnya adalah apabila melihat rakyat Malaysia yang suka beratur membeli makanan, walaupun terpaksa menunggu berjam-jam.
Malah, rakannya juga pernah sanggup beratur selama satu jam demi mendapatkan makanan yang disukai.
Menurut Kadam, makanan di negara ini kebanyakannya manis dan jika orang luar yang tidak terbiasa mungkin sukar untuk menerima makanan tersebut.
Namun, dia juga bersyukur kerana makanan Indonesia seperti ayam gepuk banyak di sini.
“Justeru, rakyat Malaysia tolong cadangkan makanan yang pedas kepada saya. Saya tertanya-tanya macam rasa makanan pedas Malaysia. Bukan restoran Indonesia, tetapi restoran Malaysia yang menjual makanan pedas,” katanya.
Di sebalik pengalaman yang baik, Kadam juga berkongsi pengalaman yang kurang menyenangkan pernah dilaluinya.
“Pengalaman buruk saya satu saja ketika di sini iaitu sering dianggap tiada duit kerana saya orang Indonesia. Ini sering terjadi.
“Bahkan saya tanya kawan-kawan sesama Indonesia adakah pernah mengalami pengalaman seperti ini, mereka berkata ya.
“Saya tidak tahu kenapa persepsi sebegitu boleh wujud, tolong beritahu saya sebabnya,” katanya.
Hal yang paling membuatkan dia gembira adalah tiada sesiapa yang menghakiminya apabila bahasa Inggeris yang dituturkannya tidak begitu baik.
“Di sini saya bebas menggunakan bahasa Inggeris, saya bebas berlatih bahasa Inggeris dengan siapa pun dan tiada yang judge saya hanya kerana bahasa Inggeris salah. Apa yang penting faham,” katanya.
Menurutnya, situasi itu berbeza ketika di negaranya sendiri kerana ramai yang ‘menyerangnya’ apabila melakukan kesilapan ketika bertutur bahasa Inggeris.
Mengakhiri video itu, Kadam mendoakan agar rakyat Malaysia dan Indonesia terus saling mengeratkan hubungan.
Tegasnya, dia tidak pernah melihat perdebatan ‘Indonesia vs Malaysia’ di dunia nyata, sebaliknya ia hanya berlaku dalam dunia maya.
“Saya tidak pernah merasakan itu, Alhamdulillah,” katanya lagi.
Sumber: Kadam Sidik