Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dahulu hanya dikenali sebagai bandar yang sunyi dengan jalan raya lengang, Cyberjaya hari ini berubah menjadi antara bandar paling pesat membangun di negara ini.
Perkongsian seorang pengguna Threads yang mengimbau suasana Cyberjaya sekitar tahun 2006 nyata mengundang rasa nostalgia dalam kalangan warga lama bandar itu.
Seorang pengguna Threads, @kimi_realtor, berkata peta lama Cyberjaya mengingatkannya kepada cerita seorang rakannya yang pernah bersekolah di kawasan tersebut hampir dua dekad lalu.
Menurut beliau, rakannya pernah memberitahu bahawa penghujung Cyberjaya ketika itu hanyalah di persimpangan lampu isyarat berhampiran kawasan yang kini dikenali sebagai Tamarind Square.
“Cyberjaya di tahun 2006, 20 tahun lepas. Ada sorang member dulu sekolah dekat Cyber. Dia cakap penghujung Cyber masa tu traffic light Tamarind Square.
“Bila tengok balik maps ni betul lah apa dia cakap. Sekarang tak sangka pesat betul membangun. Siapa sini orang lama Cyber? Share sikit pengalaman dulu-dulu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads semalam.
Dalam hantaran susulan, beliau berkata rakannya turut berkongsi kenangan sering singgah di kediaman rakan di Cyberia Smarthomes selepas tamat sesi persekolahan.
“Lepas tu dia cerita lagi, balik sekolah selalu singgah rumah member dekat Cyberia Smarthomes. Mandi swimming pool. Masa tu apartment ni kira gah lah,” ujarnya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai warga lama Cyberjaya yang tampil berkongsi memori masing-masing ketika bandar itu masih dalam fasa awal pembangunan.
Seorang pengguna, @teejayass, berkata beliau pernah menuntut di Universiti Multimedia (MMU) ketika kampus itu baru beroperasi.
“MMU Entrance 1 year 2000,” katanya ringkas.
Sementara itu, @jerryedwin93 berkata suasana Cyberjaya sekitar tahun 2005 hingga 2010 sangat berbeza berbanding hari ini.
“Budak-budak SMKC tahun 2005-2010 angkat tangan!? Dulu kalau awal pagi sejuk je, sunyi. Main point is either Smarthome atau Street Mall.
“Nak tengok wayang kena naik bas shuttle dulu ke Putrajaya Sentral, kemudian sambung bas ke Alamanda. Hahaha! Kenangan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @amrrxo, turut mengesahkan kawasan berhampiran Tamarind Square suatu ketika dahulu sememangnya merupakan penghujung pembangunan Cyberjaya.
Menurutnya, laluan menuju Symphony Hills dan Cyberia Crescent 2 ketika itu masih belum dibangunkan sepenuhnya.
“Ye, betul. Itu memang penghujung Cyber. Jalan ke Symphony Hills pun jalan mati. Masuk kiri naik bukit ke Cyberia Crescent 2 tu pun jalan mati.
“Ayah dulu kerja dekat HP Prima 7. Balik sekolah pergi training go-kart dekat kelab komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @msnorashikinms, berkata beliau berbangga kerana berpeluang menyaksikan sendiri perkembangan Cyberjaya sejak dari awal penubuhannya.
“Been 22 years in Cyberjaya, menetap tetap dan berniaga di Cyberjaya. N glad to say I'm part of Cyberjaya's development from zero to hero,” katanya.
Rata-rata warga maya turut meluahkan rasa kagum melihat transformasi Cyberjaya yang dahulunya dikenali sebagai bandar teknologi yang sunyi, namun kini berkembang pesat dengan pelbagai pembangunan komersial, kediaman, institusi pendidikan serta menjadi antara hab digital utama negara.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan