Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan mengenai kemungkinan kerjasama parti itu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Fadhli berkata pembubaran DUN berkenaan membuka ruang kepada usaha merealisasikan semula “perpaduan ummah”.
“Melaka sudah memanggil. Perpaduan ummah sekali lagi bakal direalisasikan. Insya-Allah PH (Pakatan Harapan) bakal bertemu kekalahan berikutnya,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September, sekali gus membuka laluan kepada PRN Melaka ke-16.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala proses seterusnya termasuk penetapan tarikh writ, penamaan calon dan hari pengundian adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada masa sama, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka dilaporkan berkata BN negeri akan berunding dengan mana-mana parti dan menilai setiap tawaran ketika rundingan bagi menghadapi PRN berkenaan.

