Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ecuador mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas bangkit menewaskan Jerman 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E awal pagi tadi, lapor ESPN.
Meskipun Jerman sudah mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan selepas memenangi dua perlawanan awal, skuad kendalian mereka tetap memulakan aksi dengan cemerlang apabila mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Leroy Sané.
Namun, Ecuador tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Nilson Angulo meledak gol penyamaan pada minit kesembilan, sekali gus menjadi jaringan pertama pasukan itu dalam kempen kali ini.
Jaringan kemenangan Ecuador hadir pada minit ke-77 menerusi Gonzalo Plata yang pantas menyambar bola di depan pintu gol selepas situasi kelam-kabut hasil sepakan penjuru.
Gol itu hadir ketika penjaga gol veteran Jerman, Manuel Neuer hampir menguasai bola, namun Plata terlebih dahulu menyentuhnya untuk menewaskan penjaga gol berusia 40 tahun itu.
Keputusan itu menyaksikan Ecuador menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan dengan empat mata di belakang Jerman dan Ivory Coast, namun tetap layak ke pusingan 32 terbaik sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik.
Ia juga menjadi kali kedua Ecuador mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia selepas kali terakhir melakukannya pada 2006.
Dalam masa sama, kemenangan itu turut mencatat sejarah apabila menjadi kemenangan pertama Ecuador ke atas pasukan dari Eropah dalam mana-mana kejohanan sejak 2013.
Bagi Jerman pula, kekalahan itu menamatkan rentetan 11 kemenangan berturut-turut mereka, selain terus bergelut di bahagian pertahanan selepas kini bolos dalam sembilan aksi Piala Dunia berturut-turut.