Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ekor Harimau Malaya Gamatkan Suasana Di Qatar Dengan Paluan Kompang
Kehangatan saingan Piala Asia Qatar 2023 semakin dirasai apabila ia membuka tirai pada 12 Januari lalu. Sudah tentunya ramai peminat bola sepak dari seluruh dunia tidak terlepas untuk menyaksikan kejohanan ini.
Selain mengumpulkan 24 pasukan terbaik di Asia berentap di bawah satu kejohanan, pelbagai keunikan budaya dan adat dapat disaksikan menerusi negara-negara yang terlibat.
Antaranya penyokong pasukan Malaysia yang sudah tidak sabar menantikan pasukan kesayangan mereka berentap pada awal pagi nanti.
Dalam rakaman tular di media sosial memaparkan “ekor” Harimau Malaya itu mempersembahkan sorakan dipercayai di sekitar perkarangan Stadium Al Janoub, Qatar sebagai bukti sokongan mereka.

Bukan itu sahaja, sebahagian daripada penyokong turut mengenakan jersi Malaysia dan tanjak sambil mengibarkan bendera kebangsaan serta mafla.
Lautan Kuning Hitam
Orang ramai dan komuniti tempatan turut tidak melepaskan peluang menyaksikan lautan “Kuning Hitam” meriahkan lagi kejohanan bola sepak itu secara aman.
Rata-rata mereka dilihat merakam dan melihat dari tepi Ultras Malaya yang mendendangkan nyanyian bersama alat muzik itu di jalanan.
Sementara itu, Bernama juga berkongsikan satu hantaran mengenai momen tersebut di platform X (Twitter).
“Kumpulan penyokong skuad Harimau Malaya menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita diiringi paluan kompang oleh Kelab Kompang Qatar yang ternyata mencuri tumpuan ramai di Souq Waqif sempena saingan Piala Asia 2023 malam ini,” tulis Bernama.
Skuad kendalian Kim Pan Gon dengan 26 pemain akan memulakan kempen dengan turun menentang Jordan pada 1.30 pagi nanti di Stadium Al Janoub, Qatar bagi perlawanan pertama Kumpulan E.
Dalam kejohanan kali ini, Malaysia tersenarai dalam kumpulan E bersama tiga negara Asia lain iaitu Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
Menariknya, Malaysia yang berjaya melepasi kelayakan kejohanan tersebut telah mencipta sejarah. Ini kerana skuad itu berjaya memecahkan penantian 42 tahun Malaysia untuk kembali bersaing dalam edisi kali ini.
Ayuh Harimau Malaya! Baham mangsamu di Qatar!
Sumber: TikTok @chalzrafael84