Fenomena El Nino dijangka terus menguat dan berpotensi mencapai tahap luar biasa sehingga menjadi kejadian paling kuat direkodkan sejak 1950, menurut ramalan terkini Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA).
Menurut laporan Anadolu Ajansı (AA) yang memetik ramalan agensi berkenaan, El Nino dijangka memuncak pada akhir musim luruh atau awal musim sejuk, dengan kebarangkalian sekitar 70 peratus untuk menjadi kejadian terkuat dalam rekod sejak 1950.
Ramalan itu turut menunjukkan fenomena berkenaan berpotensi mengatasi episod ‘Super El Nino’ 1982-1983, yang sebelum ini antara kejadian El Nino paling kuat pernah direkodkan.
NOAA berkata, keadaan El Nino ketika ini terus meningkat dengan pantas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan cuaca ekstrem di pelbagai kawasan dunia.
Pakar memberi amaran bahawa kesan pemanasan global yang berlaku serentak dengan El Nino berpotensi meningkatkan intensiti gelombang haba serta keterukan bencana berkaitan cuaca.
Kekuatan fenomena berkenaan turut menyebabkan 2027 dianggap berkemungkinan tinggi menjadi tahun paling panas pernah direkodkan, manakala 2026 juga berpotensi memecahkan rekod sama.
El Nino merupakan corak cuaca yang berlaku di Lautan Pasifik apabila suhu permukaan laut meningkat, sekali gus mempengaruhi corak cuaca di pelbagai bahagian dunia.
Fenomena itu merupakan fasa panas dalam kitaran El Nino-Southern Oscillation (ENSO), manakala La Nina ialah fasa yang dikaitkan dengan keadaan suhu permukaan laut lebih sejuk di kawasan Pasifik tropika.
Sementara itu, tempoh antara kedua-dua fenomena berkenaan dikenali sebagai fasa neutral, apabila corak cuaca lebih hampir kepada keadaan biasa.
Kesan El Nino boleh berbeza mengikut rantau, termasuk mempengaruhi suhu, taburan hujan dan risiko kejadian cuaca ekstrem.

