Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

El Niño Dijangka Landa Malaysia Dalam Tempoh Terdekat - METMalaysia

El Niño
Gambar: METMalaysia

El Niño Dijangka Landa Malaysia Dalam Tempoh Terdekat - METMalaysia

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sedang memantau secara rapi perkembangan fenomena El Niño yang dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dalam tempoh terdekat dan berkemungkinan berterusan sehingga awal tahun 2027.

Ketua Pengarah METMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip, berkata fenomena tersebut dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada kebiasaan, khususnya sepanjang musim Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga September 2026.

Menurut beliau, keadaan itu berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu.

"Sebagai langkah kesiapsiagaan, MET Malaysia telah memperkukuhkan penyampaian maklumat cuaca dan amaran awal kepada kerajaan, agensi berkaitan dan orang ramai.

"Sehingga Jun 2026, MET Malaysia telah melaksanakan lebih 70 sesi taklimat, mesyuarat dan program libat urus berkaitan cuaca panas dan kering di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah," kata beliau.

Jelas beliau, antara program yang telah dijalankan termasuk sesi taklimat kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Jabatan Pertanian Malaysia serta pembentangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di seluruh negara.

Ramalan risiko kebakaran hutan & tanah gambut serta ramalan jerebu

Dalam usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan negara, METMalaysia turut menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga tujuh hari ke hadapan serta mengeluarkan ramalan jerebu bagi membantu pihak berkaitan mengambil tindakan awal.

Selain itu, jabatan tersebut juga bersedia membantu pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sekiranya diperlukan dan keadaan cuaca mengizinkan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca dan laman sesawang rasmi METMalaysia.

Mereka juga digalakkan menggunakan air secara berhemah serta mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko kebakaran dan pencemaran udara.

Mohd Hisham berkata METMalaysia akan terus komited menyediakan maklumat cuaca yang tepat dan tepat pada masanya bagi membantu negara membuat persediaan awal dalam menghadapi sebarang risiko cuaca ekstrem yang mungkin berlaku pada masa hadapan.