Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemain Qatar Terima Ganjaran Lumayan Usai Cipta Sejarah Di Piala Dunia
Jaringan saat akhir oleh pemain Qatar, Boualem Khoukhi, membantu negaranya mencipta sejarah apabila berjaya meraih mata pertama dalam penampilan mereka di pentas Piala Dunia.
Dalam perlawanan Kumpulan B yang berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi, Qatar berjaya mengikat Switzerland 1-1 hasil tandukan Khoukhi pada minit ke-94.
Gol tersebut bukan sahaja menyelamatkan Qatar daripada kekalahan. Malah, mencatat sejarah baharu buat juara AFC Asian Cup 2023 itu apabila meraih mata pertama dalam sejarah penyertaan mereka di kejohanan bola sepak paling berprestij dunia.
Malah, jaringan Khoukhi itu juga merupakan gol kedua yang pernah dijaringkan Qatar di pentas Piala Dunia.
Lebih menarik, pemain berusia 35 tahun itu dilaporkan menerima ganjaran luar biasa sejurus selepas menjadi 'wira' negara.
Menurut laporan media tempatan Qatar, Dana Pelaburan Awam Qatar dikatakan mengumumkan hadiah wang tunai berjumlah AS$3 juta kepada Khoukhi sebagai penghargaan atas sumbangannya mencipta detik bersejarah buat bola sepak negara tersebut.
Selain ganjaran wang tunai, beliau turut dilaporkan menerima sebuah kereta mewah edisi terbaharu jenama Rolls-Royce.
Keputusan seri itu memberi suntikan semangat kepada Qatar yang kini bersedia menghadapi dua lagi perlawanan kumpulan menentang Kanada pada 19 Jun dan Bosnia and Herzegovina pada 25 Jun.