Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

England Tewaskan Mexico Dalam Aksi Penuh Drama

ENGLAND
Kredit: AFP

England Tewaskan Mexico Dalam Aksi Penuh Drama

England menempah slot ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Mexico 3-2 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Azteca, Mexico, lapor BBC.

Perlawanan yang tertangguh selama sejam akibat ribut itu menyaksikan skuad kendalian Thomas Tuchel mempamerkan aksi penuh disiplin dan semangat juang apabila berjaya mempertahankan kelebihan meskipun beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua.

England membuka tirai jaringan menerusi Jude Bellingham yang meledak dua gol dalam tempoh hanya 98 saat menjelang tamat separuh masa pertama, sekali gus meletakkan pelawat di hadapan.

Bagaimanapun, Mexico merapatkan kedudukan tiga minit sebelum rehat hasil penyudah kemas Julian Quinones yang menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford.

Memasuki babak kedua, England menerima tamparan apabila Jarell Quansah dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan tinggi terhadap Jesus Gallardo.

Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, England kembali melebarkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Harry Kane selepas Anthony Gordon dijatuhkan penjaga gol Mexico, Raul Rangel.

Namun, Mexico tidak mengalah apabila turut dihadiahkan sepakan penalti selepas Kane mengasari Brian Gutierrez di dalam kotak penalti, sebelum Raul Jimenez menyempurnakan peluang tersebut untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Berdepan tekanan hebat pada penghujung perlawanan, Tuchel membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Dan Burn dan Djed Spence sebelum mengubah formasi kepada lima pertahanan bagi mengekang asakan tuan rumah sepanjang 11 minit masa kecederaan.

Menurut BBC, kemenangan itu dianggap antara persembahan terbaik England dalam kejohanan kali ini, apatah lagi Mexico hanya tewas dua daripada 89 perlawanan kompetitif di Stadium Azteca sebelum ini.

Bellingham muncul pemain paling menyerlah apabila bukan sahaja menjaringkan dua gol, malah turut melakukan terjahan penting pada penghujung babak pertama untuk menggagalkan percubaan Cesar Montes ketika Mexico hampir menyamakan kedudukan.

Sementara itu, Pickford turut memainkan peranan besar apabila melakukan beberapa aksi menyelamat penting termasuk dua kali menafikan percubaan Jimenez selain mengawal kawasan penalti dengan cemerlang sepanjang perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan England akan berdepan Norway pada aksi suku akhir dalam usaha meneruskan cabaran memburu gelaran Piala Dunia 2026.

Sumber:BBC Sport