Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Erik Ten Hag Dipecat Oleh Bayer Leverkusen

Erik Ten Hag Dipecat
Gambar: Fabrizio Romano/X

Erik Ten Hag Dipecat Oleh Bayer Leverkusen

Bekas pengendali Manchester United, Erik Ten Hag, dilaporkan telah dipecat oleh Bayer Leverkusen meskipun baru sahaja mengambil alih pasukan itu pada Mei lalu selepas berehat tujuh bulan daripada dunia kejurulatihan.

Ten Hag, 55, hanya sempat mengendalikan dua perlawanan Bundesliga sebelum pihak pengurusan kelab membuat keputusan mengejut untuk menamatkan kontraknya.

Pada perlawanan pertamanya, Leverkusen meraih kemenangan bergaya 4-0 ke atas SG Sonnenhof Großaspach dalam saingan pusingan pertama DFB-Pokal.

Namun, prestasi pasukan mula merudum dalam Bundesliga apabila mereka tewas 1-2 kepada Hoffenheim, sebelum seri 3-3 menentang Werder Bremen yang hanya beraksi dengan 10 pemain.

Menurut wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano, pihak pengurusan Leverkusen sudah tidak lagi meletakkan kepercayaan kepada Ten Hag dan memilih untuk menamatkan khidmatnya lebih awal.

Ten Hag sebelum ini menggantikan Xabi Alonso, yang meninggalkan Leverkusen selepas membawa pasukan itu mencipta rekod musim tanpa kalah dalam Bundesliga dan menjuarai DFB-Pokal 2023/24.

Alonso kemudian berhijrah ke Real Madrid sebelum Kejohanan Piala Kelab Dunia musim panas lalu.

Selepas keputusan seri menentang Bremen yang menyaksikan Leverkusen berada di tangga ke-12 liga, Ten Hag sempat mengkritik tahap kesediaan anak buahnya.

“Pemain-pemain masih belum bersedia. Kami ada pasukan baharu dan ada yang langsung tidak cukup cergas untuk beraksi. Pada penghujung perlawanan, pasukan langsung tidak berfungsi.

“Itulah realitinya. Mereka perlu bermain dengan lebih intensiti dan meningkatkan tahap kecergasan untuk mencapai standard yang saya tetapkan,” katanya.

Nasib malang bekas pengendali Manchester United

Pemecatan Ten Hag menjadikannya pengurus ketiga bekas Manchester United yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh seminggu.

Sebelum ini, Jose Mourinho turut dipecat oleh Fenerbahce selepas pasukannya gagal mara dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Manakala Ole Gunnar Solskjaer menerima nasib sama apabila kontraknya bersama Besiktas ditamatkan selepas kelab Turki itu juga tersingkir daripada saingan kelayakan pertandingan elit Eropah tersebut.

BACA: Kenali Grimsby Town, Kelab Kecil Liga Bawahan Yang Kalahkan MU

Sumber: The Sun