Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan City Baharu, menandakan evolusi terkini bagi salah satu model paling kukuh kedudukannya dalam pasaran Malaysia.
City Baharu tampil dengan reka bentuk yang lebih muda dan dinamik, teknologi dipertingkat serta menawarkan lebih kemudahan, sambil mengekalkan prestasi, kecekapan dan praktikaliti harian yang menjadikan City antara pilihan rakyat Malaysia sejak lebih dua dekad lalu.
Sepanjang 24 tahun berada di Malaysia, lebih 536,000 unit Honda City telah terjual di seluruh negara, mencerminkan popularitinya yang kekal dalam kalangan pelanggan tempatan.
City turut memainkan peranan penting dalam perjalanan elektrifikasi Honda Malaysia, dengan varian hibrid menyumbang kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan jualan model hibrid syarikat (*1), sekali gus membantu menjadikan mobiliti berelektrifikasi lebih mudah diakses rakyat Malaysia.
City Baharu tampil lebih menyerlah menerusi reka bentuk luaran yang diperbaharui, selain ruang kabin dan teknologi yang turut dinaik taraf.
Antara penambahan utama ialah Blind Spot Information System dengan Cross Traffic Monitoring, sistem kamera baharu 360° Multi-View Camera serta skrin Display Audio bersaiz 10 inci, sekali gus menawarkan lebih kemudahan, keterhubungan dan keyakinan ketika memandu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata City telah membina kedudukan kukuh di Malaysia sejak lebih dua dekad lalu dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat negara ini.
“Seiring perubahan gaya hidup dan mobiliti, City juga perlu berkembang. City Baharu diperbaharui dengan teliti untuk memenuhi gaya hidup urban masa kini menerusi reka bentuk lebih sporty dan muda, dilengkapi teknologi dipertingkat yang menawarkan lebih kemudahan dan keyakinan dalam setiap perjalanan,” katanya.
Beliau berkata City juga terus memainkan peranan penting dalam perjalanan elektrifikasi Honda Malaysia.
“Dengan pengalaman luas Honda dalam teknologi hibrid, teknologi e:HEV kami menggabungkan kecekapan bahan api dengan keseronokan pemanduan, memberikan pelanggan manfaat terbaik daripada kedua-duanya.
“Bagi Honda, inilah yang sepatutnya ditawarkan oleh elektrifikasi iaitu kecekapan, praktikaliti dan paling penting, Joy of Driving,” katanya.
Reka Bentuk Lebih Segar Dan Sporty
City Baharu menerima reka bentuk luaran yang diperbaharui, memberikan sedan itu penampilan lebih tegap dan kontemporari di atas jalan.
Pada bahagian hadapan, gril yang direka semula menyerlahkan identiti visualnya, manakala varian RS dilengkapi Long Light Bar Headlights baharu.
Rekaan pencahayaan yang lebih kemas memberikan City Baharu penampilan tersendiri, manakala Bi-LED Headlights baharu menawarkan pencahayaan dan jarak penglihatan lebih baik ketika pemanduan malam serta ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian.
Rekaan yang diperbaharui turut diteruskan ke bahagian belakang bagi menghasilkan penampilan lebih sekata dan dinamik, sekali gus menyerlahkan karakter muda City Baharu.
Melengkapkan perubahan luaran ialah rim aloi Dual-Tone Milling bersaiz 16 inci baharu yang menambah sentuhan lebih sporty kepada reka bentuk keseluruhan.
Kabin Lebih Moden, Teknologi Dipertingkat
Di bahagian dalam, City Baharu menggabungkan aspek praktikal yang sinonim dengan Honda bersama teknologi dipertingkat dan elemen kontemporari yang direka mengikut gaya hidup masa kini yang semakin terhubung.
Antara tumpuan utama ialah skrin Display Audio 10 inci yang lebih besar, menawarkan antara muka lebih intuitif untuk fungsi sambungan dan hiburan.
Bagi kemudahan tambahan, varian e:HEV RS dilengkapi pengecas tanpa wayar, membolehkan pengguna mengecas peranti yang serasi ketika dalam perjalanan.
Pencahayaan ambien baharu bersama lampu ruang kaki dan ruang poket pintu memberikan suasana kabin lebih premium, khususnya ketika pemanduan malam.
Selain reka bentuk dan teknologi yang dinaik taraf, City Baharu terus menawarkan praktikaliti yang diharapkan daripada model itu.
Ruang kabin yang luas serta ruang kargo yang besar mampu memuatkan pelbagai keperluan termasuk barangan kerja, barangan membeli-belah, peralatan sukan dan bagasi, menjadikannya sesuai untuk rutin harian mahupun perjalanan hujung minggu.
Pilihan Enjin Petrol Dan e:HEV
City Baharu terus ditawarkan dengan pilihan rangkaian kuasa petrol dan e:HEV, bagi memenuhi keperluan pemanduan berbeza sambil mengekalkan keseimbangan prestasi dan kecekapan yang menjadi identiti Honda.
Varian petrol dikuasakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi Continuously Variable Transmission (CVT).
Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 121 PS dan tork 145 Nm, menawarkan pecutan lancar serta responsif bagi kegunaan harian.
Bagi pelanggan yang mahukan pengalaman pemanduan lebih berelektrifikasi, City e:HEV RS menawarkan prestasi responsif dengan tork maksimum 253 Nm.
Teknologi e:HEV Honda secara pintar menguruskan enjin petrol dan motor elektriknya bagi menawarkan pecutan lancar, respons pantas serta prestasi cekap mengikut keadaan pemanduan.
City e:HEV RS turut disokong oleh waranti bateri hibrid Honda Malaysia selama 10 tahun# dengan perbatuan tanpa had, sekali gus memberikan keyakinan lebih tinggi terhadap kebolehpercayaan jangka panjang teknologi hibrid Honda.
Keselamatan Lebih Menyeluruh
Keselamatan terus menjadi antara fokus utama City Baharu dengan Honda SENSING ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian.
Bagi meningkatkan kesedaran pemandu, City Baharu turut memperkenalkan Blind Spot Information System with Cross Traffic Monitoring untuk semua varian.
Sistem itu merangkumi Blind Spot Detection dan Lane Change Assist, yang memberi amaran kepada pemandu sekiranya terdapat kenderaan di lorong bersebelahan.
Fungsi Cross Traffic Monitoring pula membantu mengesan kenderaan yang menghampiri ketika pemandu mengundur keluar dari ruang parkir.
Honda LaneWatch juga ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian City Baharu.
Bagi meningkatkan jarak penglihatan ketika meletak kenderaan dan melakukan manuver, sistem baharu 360° Multi-View Camera ditawarkan pada varian Petrol RS dan e:HEV RS.
Sistem itu memberikan pandangan lebih menyeluruh di sekeliling kenderaan, sekali gus memudahkan pemandu bergerak dalam ruang sempit dan meletakkan kenderaan dengan lebih yakin.
Harga Honda City Baharu
Varian & harga runcit tanpa insurans (*2)
City 1.5L e:HEV RS- RM111,900
City 1.5L Petrol RS- RM99,900
City 1.5L V- RM94,900
City 1.5L E- RM89,900
City Baharu ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Stellar Diamond Pearl yang ditawarkan untuk varian petrol sahaja serta Blazing Red Pearl, warna baharu bagi City Baharu.
Sempena sambutan 24 tahun Honda City di Malaysia, Honda Malaysia turut memperkenalkan Special City Reward Programme bersempena pelancaran model baharu itu.
Program berkenaan menawarkan manfaat eksklusif kepada 2,400 pelanggan pertama yang layak, termasuk pelanggan baharu dan sedia ada Honda, pelanggan yang menaik taraf kenderaan serta penjawat awam.
Menerusi program itu, syarikat berhasrat menjadikan City Baharu lebih mudah dimiliki oleh lebih ramai rakyat Malaysia.
Sejajar dengan komitmen Honda Malaysia untuk meningkatkan pengalaman pemilikan, syarikat turut memperkenalkan waranti lanjutan sehingga lapan tahun dengan perbatuan tanpa had (*3) bagi semua model petrol dan hibrid Honda yang dibeli baharu, termasuk City Baharu, berkuat kuasa 1 September 2026.
Perlindungan yang dipertingkat itu memberikan lebih keyakinan dan ketenangan kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan, selain mengukuhkan komitmen Honda Malaysia dalam menawarkan nilai dan sokongan jangka panjang.
Untuk maklumat lanjut mengenai City Baharu, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Honda Malaysia, menghubungi mana-mana pengedar sah Honda di seluruh negara atau menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020.
* (1) Berdasarkan data dalaman Honda Malaysia.
* (2) Harga atas jalan tanpa insurans. Harga tertakluk kepada perubahan tanpa notis terlebih dahulu.
* (3) Tertakluk kepada terma dan syarat.

