Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ezad Lazim Lancar ‘Rasa Cinta’ Di Bawah Label Sendiri, Turut Perkenal Dua Artis Baharu

Ezad Lazim Lancar ‘Rasa Cinta’

Penyanyi Ezad Lazim, 46, terus aktif dalam industri muzik tanah air apabila tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Rasa Cinta’.

Selepas lebih tiga dekad berkarya, kemunculan lagu tersebut turut membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni beliau apabila kini bergerak menerusi syarikat rakaman miliknya sendiri, EZ Record.

Bukan sekadar tampil sebagai penyanyi, Ezad turut berperanan sebagai produser, komposer serta terlibat secara langsung dalam penerbitan muzik dan muzik video bagi karya terbaharunya itu.

Dalam sidang media di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur pada Khamis, Ezad turut memperdengarkan lagu tersebut secara langsung kepada wakil media dan tetamu yang hadir.

Ezad Lazim Lancar ‘Rasa Cinta’

‘Rasa Cinta’ merupakan hasil ciptaan Ezad sendiri, manakala liriknya ditulis oleh isterinya, Zeana Ramli.

Lagu berentak balada itu mengangkat tema cinta yang bersifat universal dan boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut.

Selain menggambarkan kasih sayang antara pasangan, lagu tersebut juga boleh dihayati sebagai luahan cinta dan pengabdian kepada Allah SWT serta kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Menurut Ezad, lagu berkenaan tercipta secara spontan selepas studio rakaman miliknya siap dibangunkan.

“Lagu ‘Rasa Cinta’ tercipta secara spontan sebaik sahaja proses menyiapkan studio selesai. Ketika memegang gitar, melodi lagu ini hadir dengan begitu mudah.

“Bagi melengkapkan karya tersebut, saya percaya kepada Zeana Ramli, isteri dan pengurus, untuk menghasilkan lirik kerana saya percaya Zeana mempunyai bakat dalam penulisan,” katanya.

Menariknya, ‘Rasa Cinta’ menjadi karya pertama yang dihasilkan Ezad bersama Zeana sebagai pasangan suami isteri.

Dari Exists kepada EZ Record

Minat Ezad dalam menghasilkan lagu sebenarnya sudah bermula sejak zaman beliau bersama kumpulan Exists.

Ketika itu, Ezad pernah menghasilkan beberapa buah lagu, namun selepas meninggalkan kumpulan tersebut, beliau mengambil masa agak lama untuk kembali aktif dalam bidang penciptaan lagu.

Segalanya mula berubah apabila Ezad dan Zeana mempunyai pejabat sendiri pada 2025.

Daripada situ, semangat untuk kembali berkarya semakin kuat sehingga mendorong Ezad membina studio rakaman sendiri yang akhirnya membawa kepada penubuhan EZ Record.

“Daripada usaha dan kesungguhan itulah lahirnya EZ Record, sebuah syarikat rakaman yang menjadi platform untuk kami menghasilkan karya secara lebih kreatif dan profesional,” jelasnya.

Dalam pada itu, proses menghasilkan ‘Rasa Cinta’ turut mempunyai cabaran tersendiri apabila Ezad pada awalnya belum mempunyai jurutera bunyi untuk mengendalikan proses rakaman.

Namun, dengan bantuan beberapa individu yang ditemui sepanjang proses tersebut, akhirnya terbentuk pasukan EZ Record yang kini menjadi tulang belakang kepada penerbitan karya-karya di bawah label berkenaan.

Malah, keseluruhan rakaman ‘Rasa Cinta’ disiapkan sepenuhnya di Studio EZ Record.

Sementara itu, bagi melengkapkan projek ‘Rasa Cinta’, muzik video lagu berkenaan turut diterbitkan sepenuhnya oleh EZ Record dengan proses penggambaran, suntingan dan pasca produksi dilakukan oleh tenaga kerja dalaman syarikat.

Idea serta konsep kreatif muzik video tersebut juga dicetuskan Ezad bersama pasukan EZ Record.

Muzik video ‘Rasa Cinta’ kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi EZ Record.

Perkenal artis baharu

Menerusi sidang media itu, EZ Record turut memperkenalkan dua artis baharu di bawah naungan label berkenaan iaitu Adree dan Tika Nasir.

Dalam majlis sama, sesi menandatangani kontrak antara kedua-dua artis berkenaan bersama EZ Record turut diadakan, sekali gus menandakan secara rasmi penyertaan mereka di bawah label tersebut.

Kedua-duanya turut membuat persembahan dengan menyampaikan lagu masing-masing.

Menurut perancangan label, Adree dan Tika Nasir akan meneruskan perjalanan seni mereka menerusi karya-karya yang diterbitkan bersama EZ Record.

Selain dua nama tersebut, beberapa lagi lagu baharu juga telah siap dihasilkan dan kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk diperkenalkan kepada umum.

Langkah itu selari dengan aspirasi EZ Record untuk bukan sahaja menjadi platform kepada karya Ezad, malah membuka ruang kepada lebih ramai bakat baharu dalam industri muzik tempatan.

Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri, penubuhan EZ Record dilihat sebagai satu lagi langkah baharu buat Ezad untuk terus berkarya, selain membuka peluang kepada lebih ramai bakat baharu dalam muzik tempatan.

Ada perancangan duet dengan Mamat Exists

Dalam perkembangan lain, Ezad turut berkongsi mengenai perancangannya untuk berduet dengan Mamat Exists.

Perkara itu dimaklumkan Ezad ketika sidang media itu apabila beliau menyatakan terdapat perancangan untuk menghasilkan sebuah karya duet bersama Mamat tidak lama lagi.

Jika direalisasikan, kolaborasi tersebut pastinya menjadi sesuatu yang dinantikan peminat, memandangkan kedua-duanya pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kumpulan Exists.

Intipati
  • Ezad Lazim melancarkan Rasa Cinta sebagai projek sulung syarikat rakamannya, EZ Record.
  • Lagu itu dicipta Ezad, manakala liriknya ditulis isterinya, Zeana Ramli.
  • EZ Record turut memperkenalkan Adree dan Tika Nasir sebagai artis baharu label tersebut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan