Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Fadhlina Dukacita Kematian Pelajar Tingkatan Dua, KPM Beri Kerjasama Penuh Kepada Polis

Fadhlina Dukacita
Kredit: Facebook Fadhlina Sidek

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian seorang murid Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menurutnya, seluruh warga Kementerian Pendidikan (KPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini.

“Pagi ini saya telah hadir ke sekolah berkenaan untuk bertemu dengan warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut dan tindakan yang telah diambil.

“Siasatan berhubung kejadian ini sedang dijalankan oleh PDRM. Saya dimaklumkan bahawa seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kredit: Facebook Fadhlina Sidek

Fadhlina berkata, KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.

“Di peringkat KPM, aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh.

“Saya telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan.

“Tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya lagi.

Kredit: Facebook Fadhlina Sidek

Dalam pada itu, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian ini.

“Dalam saat yang sukar ini, keutamaan kita adalah keluarga Allahyarham. KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan PDRM dan memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara,” ujarnya lagi.