Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menggesa guru baharu supaya memberi masa kepada diri sendiri untuk menyesuaikan diri dengan penempatan baharu, terutama mereka yang ditempatkan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Fadhlina berkata, beliau memahami perasaan guru yang mungkin berdepan rasa sedih, bimbang atau belum bersedia apabila perlu berjauhan daripada keluarga dan memulakan kehidupan di tempat baharu.
Katanya, perasaan berkenaan tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang mengurangkan rasa syukur kerana mendapat peluang untuk memulakan kerjaya sebagai seorang guru.
“Saya masih ingat anak-anak di Tasik Banding ini. Hari ini, saya terbayang wajah mereka apabila membaca luahan guru-guru baharu yang menerima penempatan masing-masing,” katanya.
Menurutnya, selain memikirkan soal kerjaya, guru baharu turut perlu menyesuaikan diri dengan perkara lain seperti keadaan ibu bapa, pasangan yang ditinggalkan, perjalanan jauh serta kemudahan kediaman di lokasi penempatan.
“Jika ada rasa sedih, bimbang atau rasa belum bersedia, tidak mengapa.
“Perasaan itu langsung tidak mengurangkan rasa syukur atas rezeki menjadi seorang guru,” ujarnya.
Fadhlina berkata, pengalamannya melawat kawasan pedalaman turut membuatkan beliau memikirkan pengorbanan guru yang sudah lebih awal berada di lokasi berkenaan untuk mendidik murid serta menjadi sebahagian daripada masyarakat setempat.
“Bagi seorang guru, ia mungkin terasa seperti melangkah jauh dari rumah. Namun bagi anak-anak di sana, seorang guru sebenarnya sedang melangkah rapat ke kehidupan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan guru baharu supaya tidak memaksa diri untuk terus menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu secara drastik.
Sebaliknya, ujarnya, mereka boleh melakukannya secara berperingkat dengan mengenali sekolah, murid dan rakan sejawat sambil membina rutin baharu.
“Beri masa kepada diri sendiri. Kenali sekolah perlahan-lahan. Kenali anak-anak murid. Cari rakan-rakan baharu dan binalah rutin baharu,” katanya.
Jelasnya, tidak mustahil murid yang pada awalnya dianggap sebagai orang asing akhirnya menjadi antara insan yang membantu mengubati kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman.
“Siapa tahu, apabila tiba masanya untuk bertukar kelak, anda mungkin menjadi individu yang kerap menoleh ke belakang kerana sukar untuk meninggalkan anak yang suatu ketika dahulu berasa begitu asing,” katanya.

