Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cadangan pindaan Perlembagaan bagi memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya disifatkan sebagai langkah reformasi institusi yang penting dan tidak seharusnya dilihat dari sudut kepentingan politik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 itu perlu dinilai berdasarkan kepentingan negara serta usaha memperkukuh sistem demokrasi.
Menurut beliau, semua Ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang wajar memberi pertimbangan sewajarnya terhadap pindaan berkenaan tanpa dipengaruhi sentimen politik.
Katanya, pengasingan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan sahaja memperkukuh prinsip pemisahan kuasa, malah memastikan institusi pendakwaan dapat berfungsi secara bebas tanpa campur tangan pihak eksekutif.
“Ini akan menjamin institusi pendakwaan yang mempunyai kuasa besar dapat menjalankan tanggungjawab secara bebas tanpa dipengaruhi atau diarahkan mana-mana pihak bagi tujuan tertentu.
“Kita perlu meletakkan negara dan Parlimen jauh daripada permainan politik. Ini tiada kaitan dengan politik, sebaliknya demi masa depan negara,” katanya dalam sidang media mingguan di Facebook hari ini.
Fahmi berkata, beliau telah meneliti kandungan RUU berkenaan yang telah dipinda selepas mengambil kira pelbagai cadangan daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, pindaan tersebut membuktikan Kerajaan MADANI terbuka menerima pandangan pelbagai pihak dan bersedia menambah baik rang undang-undang itu.
Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said turut mengambil kira semua pandangan yang dibangkitkan sebelum ini.
“RUU itu melalui proses jawatankuasa dan beberapa perubahan telah dibuat bagi memasukkan isu-isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut membincangkan RUU berkenaan dan berharap ia mendapat sokongan dwipartisan apabila dibentangkan di Dewan Rakyat.
Katanya, kerajaan komited untuk memastikan pindaan itu dapat dibahaskan dan diluluskan dalam sidang Parlimen kali ini.
“Insya-Allah, kita berharap semua Ahli Parlimen dapat melihat perkara ini sebagai satu reformasi institusi demi kepentingan negara,” katanya.