Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Fakta Menarik Tentang KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin
Hari ini, seluruh rakyat Negeri Kedah Darul Aman menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah ke-29.
Baginda diputerakan pada 30 April 1942 di Alor Setar, Kedah. Sultan Sallehuddin merupakan anakanda kesembilan kepada Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-27.
Paduka bonda Baginda ialah Almarhumah Sultanah Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman, yang merupakan puteri kepada Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultan Terengganu.
KDYMM Sultan Sallehuddin dikenali sebagai seorang raja yang berwibawa, berdisiplin serta mesra rakyat. Keperibadian Baginda mencerminkan warisan kepimpinan negeri yang luhur.
Sempena hari yang istimewa ini, SK ingin berkongsi beberapa fakta menarik mengenai Baginda Tuanku.
Menurut portal rasmi Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah.
Baginda kemudiannya meneruskan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid, yang telah mendedahkan baginda tentang pergaulan dengan pelajar pelbagai kaum dan kedudukan.
Disinilah KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti. Di antaranya adalah permainan ragbi, bola sepak dan Persatuan Perbahasan.
Namun begitu, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh persekolahan baginda adalah pada tahun 1958.
Baginda telah melibatkan diri dalam aktiviti berakit buluh dari Sungai Sik sehingga ke Sungai Kuala Muda yang memakan masa selama 4 hari.
KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertemu jodoh dengan KDYMM Sultanah Maliha binti Tengku Ariff yang merupakan ahli kerabat DiRaja Negeri Kelantan.
Pertemuan ini berlaku semasa KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertugas di Kelantan bersama Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD).
KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah melangsungkan perkahwinan pada tanggal 26 November 1965.
Hasil daripada perkahwinan tersebut, pasangan DiRaja ini telah dikurniakan dua orang putera iaitu DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah yang diputerakan pada 2 Mac 1967 dan YTM Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin yang diputerakan pada 27 April 1970.
DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin telah mendirikan rumahtangga dengan DYTM Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff dan dikurniakan dua orang cahaya mata terdiri daripada seorang puteri dan seorang putera.
Setelah menamatkan pelajaran di peringkat Senior Cambridge, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bekerja sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Iskandar, Alor Setar pada tahun 1962.
Demi menyahut saranan daripada paduka kekanda Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan minat baginda yang mendalam dalam bidang ketenteraan, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah memilih untuk menjalani latihan kadet.
Baginda telah dihantar ke India untuk menjalani kursus ketenteraan di India Military Academy di Dehra Dun bermula daripada 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963.
Setelah kembali ke tanah air, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Februari 1964 dan ditempatkan di Batalion ke-2 RAMD di Pangkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Sepanjang perkhidmatan, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan, Kedah dan Perak.
Kemuncak operasi adalah semasa konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia.
KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama batalion mengambil alih tugas di Kalabakan dan sempadan Indonesia/Malaysia di Kampong Mentadah, Simpang Tiga, Apas Balong dan sebagainya.
Batalion Ke-2 RAMD kemudiannya telah dipindahkan ke Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1965 dan seterusnya ke Kem Sungai Besi pada tahun 1966.
Pada tahun 1967, batalion KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah ditukarkan ke Sarawak untuk menjalankan operasi di kawasan sempadan Indonesia/Malaysia sehingga tahun 1968.
Pada tahun 1969, batalion KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ditempatkan untuk bertugas di Kem Tok Jalai di Kedah.
Selain itu, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin juga telah menjalankan operasi di Sandakan, Sabah.
KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin dimasyurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Kedah yang ke-19 pada 15 Disember 2016.
Istiadat pemasyhuran telah diadakan dengan penuh istiadat di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Baginda menggantikan DYTM Raja Muda Kedah sebelum ini, Almarhum Tunku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Pada tanggal 12 September 2017, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29.
Perisytiharan ini dibuat mengikut Perkara 17 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah setelah kemangkatan kakanda baginda, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit pada 11 September 2017.
1970 –Dianugerahkan Bintang Cemerlang Negeri Kedah (BCK) daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
1974 – Menerima Anugerah Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) daripada Kerajaan Persekutuan di atas perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia.
1982 – Dianugerahkan Darjah Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
1982 – Dianugerahkan Kerabat Bergelar TUNKU LAKSAMANA KEDAH daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
1987 – Dianugerahkan Darjah Seri Setia DiRaja Kedah (SSDK) yang membawa gelaran “Dato’ Seri” daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
1996 – Dianugerahkan Kerabat Bergelar TUNKU TEMENGGONG KEDAH daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
2008 – Dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (SHMS) daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
2010 – Dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri” daripada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.
2011 – Dilantik sebagai Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berikutan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong – 13 Disember 2011
2012 – Dianugerahkan Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
2014 – Mengambil alih jawatan selaku Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas kemangkatan Almarhum YTM Dato’ Seri Utama Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
21 Mei 2014 2015 – Dimasyhurkan sebagai Pro Canselor 1 Kolej Universiti Insaniah (KUIN)
7 Mac 2015 2016 – Dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) oleh DYMM Tuanku Sultan Kelantan
28 November 2016- Dimasyhurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman
15 Disember 2016 2017 – Dianugerahkan Darjah Kerabat Kedah (D.K) oleh Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah
15 Januari 2017 Diisytiharkan sebagai Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman pada 12 September 2017
30 September 2017 – Dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Di-Hormati (Al-Yunusi), D.K (Kelantan) oleh YMM Pemangku Raja Kelantan
30 Oktober 2017 – Dianugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Di-Hormati D.K I (Johor) oleh DYMM Tuanku Sultan Johor.
4 Disember 2017 – Dianugerahkan Darjah Kerabat DiRaja Yang Amat Dihormati Perak (D.K) oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan.
25 Januari 2018 – Dianugerahkan Darjah Kerabat (DK) Yang Amat Dihormati oleh DYMM Sultan Selangor.
– Yang di-Pertua, Majlis Agama Negeri Kedah Darul Aman
– Presiden Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah Darul Aman
– Pro Canselor 1, Kolej Universiti Insaniah (KUIN)
– Penasihat II, Persatuan Bekas Pelajar-Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA)
– Penaung Pertubuhan Pembangunan Anak-Anak Yatim Bekas Perajurit Malaysia Daerah Kulim
– Penaung Pusat Pengajian Islam Darussilihin Bukit Tembaga, Kuala Nerang, Kedah Darul Aman
– Penasihat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Malaysia (JAKPAW) Negeri Kedah Darul Aman
– Ahli Kehormat Persatuan Bekas Tentera Malaysia Bahagian Negeri Kedah Darul Aman
Menurut portal Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah juga, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin merupakan seorang yang berperwatakan mesra.
Namun begitu, baginda sangat tegas dalam membuat keputusan dan sangat mementingkan penampilan diri.
Latihan dan pengalaman ketenteraan yang dilalui telah mewarnai watak dan keperibadian baginda yang sangat mementingkan masa.
Disebabkan ini, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin dilantik sebagai Kolonel Kehormat di dalam Askar Wataniah Negeri Kedah (JAKPAW).
Malah pada tahun 2007, baginda telah diberikan penghormatan menjawat jawatan sebagai Bridgider Jeneral dan seterusnya menjadi Penasihat kepada RAMD.
KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin amat berminat dan bergiat aktif di dalam bidang suka dan gemar bermain golf.
Baginda juga mengikut jejak Almarhum ayahanda baginda yang gemar memelihara haiwan. Baginda memelihara pelbagai spesier kucing.
Pada masa lapang, KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin gemar bersiar-siar dan melancong bersama anakanda dan cucunda.