FAM Panggil Pengadil Negeri Sembilan-JDT
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius isu prestasi pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super melibatkan Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung pada 9 Januari 2026.
Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman, Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah meneliti Laporan Penilai Pengadil dan seterusnya membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi pegawai perlawanan tersebut.
Penilaian itu turut merangkumi analisis terhadap beberapa insiden utama yang dipercayai berlaku sepanjang perlawanan.
“Hasil penilaian mendapati terdapat beberapa keputusan yang kurang tepat dilakukan oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran dan pengadil VAR, Muhd Usaid Jamal khususnya berkaitan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 – “Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan”,” kata beliau.
Sehubungan itu, FAM memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil berkenaan ke fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu. Hal ini bertujuan memperbaiki prestasi serta meningkatkan tahap pengadilan mereka pada masa akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Unit Pengadil FAM bersama Jawatankuasa Penilaian Prestasi turut menghantar surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan termasuk Penilai Pengadil yang terlibat untuk menghadiri sesi ‘Postmatch Debriefing’. Sesi tersebut dijadualkan berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 Januari 2026.
Menurut Datuk Noor Azman, objektif utama sesi berkenaan adalah untuk menilai prestasi serta membimbing pegawai perlawanan agar setiap kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbaiki secara berkesan.
Tegas beliau, FAM tidak akan berkompromi dalam hal-hal berkaitan kualiti pengadilan dan akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk memanggil mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi lemah untuk menjalani bimbingan dan pemulihan prestasi.
BACA: Nor ‘Phoenix’ Diana Bakal Debut WWE Tryout Di Orlando
Sumber: HarimauMalaya