Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan berhubung perubahan tempoh masa tambahan dalam perlawanan antara Indonesia dan Bangladesh pada aksi Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.
FAM tuntut penjelasan rasmi FIFA
FAM berkata tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudiannya berubah kepada tujuh minit ketika perlawanan berkenaan.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini, FAM berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan mahu mendapatkan penjelasan mengenai asas, prosedur serta keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan berkenaan.
“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
FAM berkata perkara berkenaan wajar diberikan perhatian memandangkan perlawanan itu melibatkan persaingan untuk menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final.
Sehubungan itu, FAM menggesa FIFA menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan.
Penjelasan itu termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Pada masa sama, FAM menegaskan permohonan berkenaan bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan.
Sebaliknya, badan induk bola sepak negara itu berkata permohonan tersebut dibuat bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan, sekali gus mengelakkan kekeliruan yang timbul berhubung insiden berkenaan.

